Back

MISI BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA UNTUK AFGHANISTAN

MISI BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA UNTUK AFGHANISTAN

 

 

Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama sektor swasta – Golden Horses Digital Investment Bank dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) - Global Peace Mission (GPM) dan Buddha’s Light International Association (BLIA) akan melaksanakan misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Afghanistan berikutan krisis kemanusiaan yang meruncing di Afghanistan.

 

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan menyempurnakan majlis penghantaran selamat berangkat (sending off) misi bantuan tersebut ke ibu kota Kabul di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 22 Februari 2022. Penerbangan khas ini akan melalui Hyderabad, India dan Islamabad, Pakistan sebelum meneruskan penerbangan ke Kabul, Afghanistan. Majlis tersebut akan mengikut SOP COVID -19.

 

Bantuan kemanusiaan seberat 5 tan meliputi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung dan keperluan asas lain akan dihantar kepada rakyat dan kanak -kanak Afghanistan yang memerlukan. GPM akan mengedarkan bantuan tersebut dengan kerjasama NGO tempatan Afghanistan iaitu Ehsas Welfare & Social Service Organisation (EWSSO), Humanitarian Assistance Society (HAS), Afghan Welfare Society (AWS) dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK) . Bantuan kemanusiaan ini merupakan sumbangan rakyat Malaysia yang diharap dapat meringankan penderitaan rakyat Afghanistan semasa musim sejuk sekarang.

 

NGO-NGO Malaysia sentiasa aktif dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat baik di dalam atau luar negara. NGO seperti GPM, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muslim Care Malaysia (MCM), MERCY Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) telah menjalankan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan. Terkini adalah BLIA dan akan diikuti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk menghulurkan bantuan kepada Afghanistan.

 

Pusat Penyelidikan Polisi Ekonomi (CEPR) Malaysia bersedia menghulurkan bantuan, terutamanya dalam penubuhan sistem perbankan dan kewangan Islam berdasarkan perundangan Syariah.

 

Pihak swasta, korporat dan institusi di Malaysia bersedia untuk menawarkan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam membantu membina dan membangun semula Afghanistan, antaranya dalam pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, perlombongan sumber mineral, telekomunikasi dan tenaga baharu.

 

Misi bantuan kemanusiaan ini menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia. Ia mempamerkan solidariti rakyat Malaysia dengan rakyat Afghanistan bertepatan dengan budaya prihatin masyarakat majmuk Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama berganding bahu bekerjasama membantu rakyat Afghanistan yang dilanda kesengsaraan. Malaysia akan meneruskan usaha-usaha libat-urus membina (constructive engagement) di samping pembangunan modal insan kepada rakyat Afghanistan.

 

 

 

 

PUTRAJAYA

22 Februari 2022