EN MS
MFA Directory English Bahasa Melayu
MISI REPATRIASI RAKYAT MALAYSIA DI WILAYAH UTARA DAN BARAT INDIA
KE TANAH AIR
Saya ingin memaklumkan, susulan situasi gelombang kedua penularan pandemik COVID-19 di India ketika ini berada pada tahap yang amat membimbangkan, Kerajaan Malaysia melalui kerjasama antara Kementerian Luar Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi rakyat Malaysia termasuk Home Based Staff (HBS) serta tanggungan mereka daripada pelbagai agensi yang berada di wilayah utara dan barat India.
Misi repatriasi ini akan dilaksanakan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia. Pesawat tersebut akan berlepas ke New Delhi dan
Mumbai, India dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada Kerajaan India diperolehi.
Penting untuk saya tegaskan, keputusan untuk melaksanakan misi repatriasi ini dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi. Malah,
keputusan ini turut mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa yang dibuat oleh pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di India.
Rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi misi ini diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sebaik tiba. Selain itu,
mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.
Misi repatriasi kali ini tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah-wilayah berkenaan masih terkawal.
Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai akan terus memantau situasi di wilayah-wilayah berkenaan dan
membuat penilaian berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di sana terus dijaga.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia di wilayah-wilayah utara dan barat India yang berhasrat untuk menyertai misi repatriasi ini dinasihatkan untuk
mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai melalui e-mel seperti di bawah,
selewat-lewatnya pada hari Jumaat, 7 Mei 2021 jam 5 petang waktu India.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai boleh dihubungi seperti di butiran berikut:
Suruhanjaya Tinggi Malaysia, New Delhi
50-M, Satya Marg, Chanakyapuri
New Delhi, India
Telefon: +91-11-2415 9311 / +91-85-9555-0594
E-mel: mwdelhi@kln.gov.my
Konsulat Jeneral Malaysia, Mumbai
5th Floor, Notan Classic Building,
24th Road, Off Turner Road
Bandra (W), Mumbai
Maharastra, India
Telefon: +91 22 2645 5751/5752
E-mel: mwmumbai@kln.gov.my
Saya juga ingin mengingatkan agar semua rakyat Malaysia di India khususnya di wilayah utara dan barat sentiasa berhubung dengan
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan misi ini
ataupun bagi mendapatkan sebarang bantuan konsular.
Misi repatriasi ini merupakan usaha dan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia
di luar negara sentiasa dilindungi. Misi yang sama pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia semasa penularan pandemik COVID-19 pada
tahun 2020 melibatkan misi repatriasi dari Wuhan (China), Iran dan Itali. Semoga misi ini dipermudahkan.
YB DATO' SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI LUAR NEGERI
6 MEI 2021