Back

PANGGILAN TELEFON DI ANTARA YB MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA DAN SETIAUSAHA LUAR, HAL EHWAL KOMANWEL DAN PEMBANGUNAN UNITED KINGDOM

PANGGILAN TELEFON DI ANTARA 

YB MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA DAN 

SETIAUSAHA LUAR, HAL EHWAL KOMANWEL DAN PEMBANGUNAN UNITED KINGDOM

 

Pada 25 Februari 2021, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri Malaysia telah mengadakan perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari UK, Setiausaha Luar Dominic Raab. Kedua-dua menteri telah mengadakan perbincangan secara mendalam mengenai kerjasama dua hala, serta isu-isu serantau dan antarabangsa.

 

YB Dato‘ Seri Hishammuddin dan Setiausaha Luar Raab bersetuju untuk mengambil langkah yang lebih kukuh ke arah meningkatkan hubungan dua hala yang sedia terjalin di antara Malaysia dan UK pasca BREXIT.

 

Kedua-dua menteri akan meneroka jalinan kerjasama berhubung COVID-19 yang lebih spesifik berikutan pelancaran program vaksinasi di Malaysia dan UK. Ini termasuk program vaksinasi timbal balas buat rakyat kedua-dua negara yang melibatkan diplomat, pelajar dan ekspatriat, gelembung perjalanan timbal balik (reciprocal travel bubble), dan jaminan akses vaksin buatan UK untuk Malaysia.

 

Mengambilkira hubungan substantif dan prospek UK yang sedia ada dalam pembangunan Komuniti ASEAN, YB Dato’ Seri Hishammuddin mengulangi sokongan kuat Malaysia ke atas permohonan UK untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN.

 

Kedua-dua menteri juga bertukar-tukar pandangan mengenai situasi semasa di Myanmar, dan Setiausaha Luar Raab menyatakan sokongannya terhadap inisiatif Malaysia, Indonesia dan Brunei untuk mengadakan Mesyuarat Menteri ASEAN tidak rasmi pada minggu depan.

 

Mengenai penganjuran Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) oleh UK pada tahun ini, kedua-dua menteri menyatakan komitmen mereka terhadap Perjanjian Iklim Paris (Paris Agreement) mengenai perubahan iklim. YB Dato‘ Seri Hishammuddin menyatakan bahawa rizab hutan simpan Malaysia pada masa ini berada pada 55.3 peratus atau 18.3 juta hektar dari keseluruhan kawasan tanah, melebihi komitmen awal Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio (Rio Earth Summit) pada tahun 1992.

 

Kedua-dua menteri juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan secara bersemuka bagi meningkatkan kerjasama di era pasca-COVID-19. YB Dato ’Seri Hishammuddin turut mengalu-alukan kedatangan Setiausaha Luar Raab ke Malaysia pada tahun ini bagi mengekalkan momentum kerjasama yang sedia ada dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan UK.

 

PUTRAJAYA

26 Februari 2021