Back

PELANTIKAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA YANG BAHARU

 

PELANTIKAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA

     YANG BAHARU

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah telah mengampuni perkenan pelantikan sepuluh (10) orang Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu dalam satu istiadat penyerahan watikah pelantikan yang berlangsung di Istana Negara pada hari ini. Istiadat tersebut turut dihadiri YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, dan YBhg. Dato’ Norman Muhamad, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri. Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik tersebut adalah:

 

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz

Bakal Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat

Dato’ Seri Mohamed Nazri merupakan graduan Lincoln’s Inn di United Kingdom dan mempunyai pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran negara. Sebelum ini, beliau pernah dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Menteri Pembangunan Perusahaan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 

Dato’ Syed Md Hasrin bin Tengku Hussin @ Syed Hussin

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia

Dato’ Syed Md Hasrin berkelulusan Sarjana dalam bidang Pengurusan Awam dari National University of Singapore dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1994. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat sejak tahun 2019.

Sebelum itu, beliau pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (2017-2019) dan Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (2008-2010). Beliau pernah ditugaskan di pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Jakarta, Indonesia; dan New York, Amerika Syarikat.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Bahagian Asia Tenggara, Pegawai Khas kepada Menteri Luar Negeri, Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha, serta menjalankan tugasan di Bahagian Asia Tenggara dan Pasifik Selatan, dan Bahagian Ekonomi.

 

Dato’ Abdul Malik Melvin Castelino bin Anthony

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Filipina

Dato’ Abdul Malik adalah graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1996. Sebelum ini, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Republik Itali sejak tahun 2018, merangkap Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Makanan dan Pertanian (Food and Agriculture Organisation – FAO), Program Makanan Sedunia (World Food Programme – WFP) dan Dana Antarabangsa untuk Pembangunan Pertanian (International Fund for Agricultural Development – IFAD).

Beliau pernah ditugaskan di pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di London, United Kingdom; dan Abuja, Nigeria. Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada YB Menteri Luar Negeri, dan ditugaskan di Bahagian Asia Tenggara.

 

Ambassador Hendy Assan

Bakal Duta Besar Malaysia ke Holy See

Ambassador Hendy merupakan graduan Universiti Malaya dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1995. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan sejak tahun 2018.

Sepanjang karier diplomatik beliau, Ambassador Hendy pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai, Republik Rakyat China (2010- 2014) dan di pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Tokyo, Jepun; Rome, Itali; dan Dakar, Senegal.

Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Asia Timur, Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa, serta penempatan lain di Bahagian CLMV dan Oceania, Bahagian Amerikas dan Bahagian ASEAN.

 

Cik Hafizah binti Abdullah

Bakal Duta Besar Malaysia ke Sweden

Berkelulusan Sarjana dalam bidang Sains Politik (Hubungan Antarabangsa) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Cik Hafizah merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik lantikan tahun 1996. Beliau sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa sejak tahun 2022.

Beliau pernah ditugaskan sebagai Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Perth, Australia (2012-2016) dan ditempatkan di Kedutaan Besar Malaysia di Madrid, Sepanyol.

Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Ketua Pegawai Inovasi Nilai, dan ditempatkan di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Konsular dan Bahagian Amerikas.

 

Ambassador Gloria Corina Peter Tiwet

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Persekutuan Brazil

Ambassador Gloria Corina berkelulusan Ijazah Sarjana Sains dalam Keselamatan Global dari Cranfield University di United Kingdom dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1996. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Persekutuan Nigeria sejak tahun 2018. Beliau juga pernah ditugaskan di pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Stockholm, Sweden; Buenos Aires, Argentina; dan Santiago, Chile.

Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Pengarah Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2015, dan ditempatkan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Bahagian Pembangunan, Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar, serta Bahagian Penerangan.

 

Encik Ruzaimi bin Mohamad

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Kenya

Encik Ruzaimi merupakan graduan Universiti Sains Malaysia dan menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 2000. Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri sejak tahun 2019.

Sepanjang karier diplomatik beliau, Encik Ruzaimi pernah ditempatkan di Phnom Penh, Kemboja; Yangon, Myanmar; Kiev, Ukraine; dan Suva, Fiji. Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar, dan ditugaskan di Jabatan Perancangan Dasar dan Strategi, serta Bahagian Pentadbiran.

 

Cik Suzilah binti Mohd Sidek

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Czech

Cik Suzilah berkelulusan Sarjana dalam bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan beliau menyertai perkhidmatan awam pada tahun 2001. Sebelum pelantikan ini, beliau bertugas sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand dan merupakan Wakil Tetap Malaysia ke Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) di Bangkok.

Penugasan beliau di pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia yang lain adalah termasuk di Ottawa, Kanada; dan Vienna, Austria. Di peringkat Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah di Bahagian Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, dan ditugaskan di Bahagian Kerjasama Serantau, Pembangunan Sosial dan Budaya; Bahagian Penyelidikan, Triti dan Perundangan Antarabangsa; serta Bahagian Asia Tenggara dan Pasifik Selatan.

 

Encik Amarjit Singh Sarjit Singh

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Demokratik Timor-Leste

Encik Amarjit Singh merupakan graduan University of London di United Kingdom dan menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 2001. Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Afrika sejak tahun 2020.

Sepanjang karier diplomatik beliau, Encik Amarjit Singh pernah bertugas di pejabat- pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Harare, Zimbabwe; Astana, Kazakhstan; dan Hanoi, Vietnam. Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Amerika, dan ditempatkan di Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar.

 

Encik ‘Alauddin bin Mohd Nor

Bakal Duta Besar Malaysia ke Kuwait

Encik ‘Alauddin berkelulusan Sarjana dalam Kesusasteraan Bahasa Inggeris dari Universiti Putra Malaysia dan memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 2002. Sebelum pelantikan ini, beliau bertugas sebagai Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi sejak tahun 2019.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi dan Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Tashkent, Uzbekistan. Di peringkat Kementerian pula, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Asia Barat dan ditugaskan di Bahagian Inspektorat, Bahagian ASEAN serta Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

 

PUTRAJAYA

9 Februari 2023