PELANTIKAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA YANG BAHARU
PELANTIKAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA
YANG BAHARU
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah mengampuni perkenan pelantikan empat orang Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu dalam satu Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Istana Negara pada hari ini. Istiadat tersebut turut dihadiri YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, dan YBhg. Dato’ Ahmad Rozian bin Abd Ghani, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri. Maklumat Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik tersebut adalah seperti berikut:
Dato’ Mohd Zamruni bin Khalid
Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Korea
Dato’ Mohd Zamruni adalah anak kelahiran negeri Terengganu dan berkelulusan Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Institute d’Etudes Politiques (Sciences Po) di Perancis. Beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan menyertai Kementerian Luar Negeri pada tahun 1994. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Perancis sejak tahun 2021. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Vietnam (2016-2019); dan Konsul Jeneral Malaysia di New York, Amerika Syarikat (2008-2011).
Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR); dan Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN & Bahagian Hubungan Luar ASEAN, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia.
Datuk Eldeen Husaini bin Mohd Hashim
Bakal Duta Besar Malaysia ke Perancis
Datuk Eldeen Husaini dilahirkan di Kuala Lumpur dan merupakan graduan Undang-undang dari Sheffield Hallam University, United Kingdom. Beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan menyertai Kementerian Luar Negeri pada tahun 1998. Sebelum ini, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Kemboja sejak tahun 2019.
Selain pernah memegang jawatan sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Mumbai, India (2014-2017), beliau juga pernah ditugaskan di perwakilan diplomatik Malaysia di Canberra, Australia dan Tokyo, Jepun. Di Kementerian Luar Negeri, beliau juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Asia Tenggara di Jabatan Hubungan Dua Hala.
Encik Shaharuddin bin Onn
Bakal Duta Besar Malaysia ke Kemboja
Encik Shaharuddin merupakan anak kelahiran negeri Perak yang berkelulusan Sarjana Undang-undang dari Universiti Malaya dan Sarjana Muda Undang-undang dari University of London, United Kingdom. Beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan menyertai Kementerian Luar Negeri pada tahun 2001. Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Maritim sejak tahun 2019.
Beliau pernah ditugaskan sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Republik Korea, selain penugasan di Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat; Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland; dan Kedutaan Besar Malaysia di Havana, Cuba.
Encik Aiyub bin Omar
Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Persekutuan Nigeria
Encik Aiyub dilahirkan di Perak dan merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 2001. Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia sejak tahun 2019.
Beliau pernah ditugaskan di perwakilan diplomatik Malaysia di Islamabad, Pakistan dan Madrid, Sepanyol. Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah bertugas sebagai Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan.
PUTRAJAYA
20 Mac 2024



