Back

PELANTIKAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA YANG BAHARU

 

PELANTIKAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA YANG BAHARU

 

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah telah mengampuni perkenan pelantikan 11 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu dalam satu istiadat penyerahan watikah pelantikan yang berlangsung di Istana Negara pada hari ini. Istiadat tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri. Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik tersebut adalah:

Dato’ Seri Ahmad Fadil bin Shamsuddin

Bakal Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu

Dato’ Seri Ahmad Fadil merupakan graduan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1995. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara sejak tahun 2019.

Sebelum bertugas di Istana Negara, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Qatar (2017-2019); Duta Besar Malaysia ke Republik Poland (2016-2017); dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Beliau juga pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang lain iaitu di Canberra, Australia; Havana, Cuba; dan Santiago, Chile.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Luar Negeri dan pernah ditempatkan di Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala serta Bahagian OIC.

Dato’ Tan Yang Thai

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Sosialis Vietnam

Berkelulusan Sarjana Hubungan Antarabangsa dari Waseda University di Jepun, Dato’ Tan Yang Thai menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1995. Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka sejak tahun 2018.

Sebelum itu, Dato’ Tan pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Republik Rakyat China, dan pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang lain di Moscow, Persekutuan Rusia; dan Tashkent, Uzbekistan.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah, Setiausaha Bahagian CLMV dan Oceania, dan menjalankan tugas di Bahagian Asia Timur, Bahagian Pembangunan dan Bahagian Asia Tenggara.

Dr. Adina binti Kamarudin

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Persekutuan Jerman

Dr. Adina berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1997. Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim sejak tahun 2018.

Pengalaman beliau berkhidmat di luar negara adalah termasuk penugasan sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Jerman dan Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Dublin, Ireland. Di Kementerian Luar Negeri, Dr. Adina pernah bertugas di Bahagian Inspektorat, Bahagian Ekonomi dan Bahagian Konsular.

Dr. Adina juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Felo Penyelidik Utama Pelawat, Institut Oseanografi & Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ambassador Mohammad Azhar bin Mazlan

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Islam Pakistan

Ambassador Mohammad Azhar merupakan graduan Southwest Texas State University di Amerika Syarikat dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1994. Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah sejak tahun 2019.

Sepanjang karier diplomatik beliau, Ambassador Azhar pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Mexico (2015-2018) dan Konsul Jeneral Malaysia di Davao City, Filipina. Beliau juga pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang lain di Rome, Itali; dan Suva, Fiji.

Di Kementerian Luar Negeri pula, Ambassador Azhar pernah memegang jawatan sebagai sebagai Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Timbalan Ketua Pengarah di Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Strategik dan penempatan lain di Bahagian Asia Barat dan Afrika Utara serta Bahagian Afrika dan Selatan Sahara.

Ambassador Mohamad Nasri bin Abdul Rahman

Bakal Duta Besar Malaysia ke Kerajaan Hasyimiah Jordan

Berkelulusan Sarjana Sains Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ambassador Mohamad Nasri merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik lantikan tahun 1996. Beliau sebelum ini menyandang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea sejak tahun 2018.

Beliau pernah berkhidmat di beberapa pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang lain sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Kunming dan pernah bertugas di Republik Rakyat China; Pekanbaru, Indonesia; dan Amman, Jordan.

Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan ditempatkan di Jabatan Protokol dan Konsular, Bahagian Kewangan dan Akaun, serta Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan.

Ambassador Ilham Tuah bin Illias

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan

Ambassador Ilham Tuah merupakan graduan Hawaii Pacific University di Amerika Syarikat dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1998. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Fiji sejak tahun 2018. Beliau juga pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang lain iaitu termasuk di Pyongyang, Korea Utara; Pretoria, Afrika Selatan; dan Ottawa, Kanada.

Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Timbalan Ketua Protokol, dan ditempatkan di Bahagian Afrika dan Selatan Sahara, Bahagian ASEAN dan Bahagian Pertubuhan Antarabangsa.

Puan Mazita binti Marzuki

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Golden Gate University di Amerika Syarikat, Puan Mazita menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 2001. Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Australia sejak tahun 2019.

Puan Mazita juga pernah bertugas sebagai Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah di Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dan di Bahagian OIC dan Kerjasama Serantau.

Encik Edi Irwan bin Mahmud

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Demokratik Rakyat Lao

Berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Encik Edi Irwan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 2001. Sebelum pelantikan ini, beliau bertugas sebagai Timbalan Ketua Protokol sejak tahun 2019. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Perth, Australia dan pernah bertugas di Suva, Fiji; Hanoi, Republik Sosialis Vietnam; dan Sana’a, Yemen.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, serta ditempatkan di Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam, Bahagian Afrika dan Selatan Sahara, dan Bahagian Asia Timur.

Encik Zainal Izran bin Zahari

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Senegal

Encik Zainal Izran merupakan graduan Universiti Malaya (UM) dan menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 2002. Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Menteri Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Vienna, Austria sejak tahun 2019.

Sepanjang karier diplomatik beliau, Encik Zainal Izran pernah bertugas di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di Brussels, Belgium; Stockholm, Sweden; dan Port Moresby, Papua New Guinea.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah, dan ditempatkan di Bahagian CLMV dan Oceania, Bahagian Timur Tengah dan Asia Barat, serta Bahagian Perancangan Dasar.

Encik Mohd Adli bin Abdullah

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Kazakhstan

Encik Mohd Adli merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 2002. Sebelum pelantikan ini, beliau bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Konsular sejak tahun 2018.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Vancouver, Kanada; dan Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Filipina. Di peringkat Kementerian pula, beliau pernah berkhidmat di Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, Bahagian Politik Pelbagai Hala, Bahagian Eropah dan Asia Tengah, serta Bahagian OIC.

Encik Badli Hisham bin Adam

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka

Encik Badli Hisham merupakan graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1996. Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Menteri Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Nur-Sultan, Kazakhstan sejak tahun 2019.

Beliau pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia sebelum ini sebagai Staf Tim Pemantau Antarabangsa di Mindanao serta pernah berkhidmat di Republik Filipina; Ankara, Türkiye; dan Port Moresby, Papua New Guinea.

Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau pernah ditugaskan di Jabatan Perancangan Dasar dan Strategik, Bahagian Eropah, Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, Bahagian Protokol, Bahagian Asia Barat, serta Bahagian Eropah Timur.

 

PUTRAJAYA

2 Disember 2022