Back

PELANTIKAN MALAYSIA SEBAGAI PENGERUSI YAYASAN KOMANWEL

 

PELANTIKAN MALAYSIA SEBAGAI PENGERUSI YAYASAN KOMANWEL

 

 

YBhg. Dato’ Sudha Devi K.R. Vasudevan telah dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel bagi terma dua tahun bermula 1 Januari 2021. Keputusan tersebut dicapai semasa Mesyuarat Luar Biasa Lembaga Gabenor-Gabenor Yayasan Komanwel yang diadakan secara maya pada 28 Oktober 2020 di London, United Kingdom. Keputusan Mesyuarat tersebut seterusnya telah diperakui oleh Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel pada 7 Disember 2020. Malaysia menerima undian

terbanyak semasa pemilihan tersebut dan mengatasi calon dari Cameroon, Kenya dan Papua New Guinea.

 

Pelantikan Dato’ Sudha sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel adalah amat bersejarah kerana beliau merupakan wakil Malaysia dan juga pengerusi pertama dari rantau Asia yang dilantik untuk mengetuai Yayasan Komanwel sejak penubuhan yayasan tersebut pada 1966.

 

Sebelum ini, Dato’ Sudha berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia dan Duta Besar Malaysia ke Brazil. Beliau juga pernah menyandang pelbagai jawatan diplomatik di Jerman, Singapura dan Switzerland. Sepanjang perkhidmatan beliau di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Setiausaha Bahagian Asia Timur dan Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat

Kebangsaan ASEAN-Malaysia.

 

Yayasan Komanwel ditubuhkan untuk menggalakkan penglibatkan rakyat dalam dialog awam bagi saling bertukar pandangan dan bertindak bersama untuk membina masyarakat demokratik. Yayasan ini juga berperanan untuk memastikan setiap institusi kerajaan dan polisi menyumbang kepada pembangunan melalui pengaruh suara rakyat.

 

Selaku pengerusi yayasan, Dato’ Sudha akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Gabenor-Gabenor, mewakili yayasan di mesyuarat dan upacara antara Kerajaan, dan berkhidmat sebagai duta bagi Yayasan Komanwel untuk mempromosikan visi dan nilai-nilai yayasan.

 

Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada negara-negara anggota Yayasan Komanwel di atas sokongan yang diberikan terhadap pelantikan Dato’ Sudha sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel. Malaysia komited untuk terusmeyokong Yayasan Komanwel dalam mencapai visi dan matlamatnya, dan dalam mengetengahkan peranannya sebagai suara warga Komanwel.

 

 

 

PUTRAJAYA

 

8 Disember 2020