Back

PELANTIKAN WAKIL TETAP MALAYSIA KE ASEAN DI JAKARTA, INDONESIA

 

PELANTIKAN WAKIL TETAP MALAYSIA KE ASEAN DI JAKARTA, INDONESIA

 

Kerajaan Malaysia telah melantik Ambassador Datin Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, Indonesia berkuatkuasa 30 Mei 2024.

Ambassador Datin Sarah Nava Rani merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya. Beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan ditugaskan di Kementerian Pertahanan pada tahun 1994, sebelum bertukar ke Kementerian Luar Negeri pada tahun 1996.

Beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Jerman dari tahun 2017 hingga 2020. Sebelum itu, beliau pernah ditugaskan di Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat dan Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Indonesia sebagai Menteri Penasihat.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian, Bahagian Hak Asasi Manusia dan Kemanusiaan, dan Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Strategi. Sebelum itu, beliau juga pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Wilayah dan Maritim.

 

PUTRAJAYA

30 Mei 2024