Back

PENGIKTIRAFAN SIJIL VAKSINASI COVID-19 SECARA TIMBAL BALAS ANTARA MALAYSIA DAN FILIPINA

 

PENGIKTIRAFAN SIJIL VAKSINASI COVID-19 SECARA TIMBAL BALAS ANTARA MALAYSIA DAN FILIPINA

 

Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Filipina telah mencapai kata sepakat pada 14 Februari 2022 untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas (mutual recognition of vaccination certificates ). Pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam MySejahtera sementara pengembara dari Filipina dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam VaxcertPH. Kemasukan pengembara juga tertakluk kepada prosedur kurantin semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara.

 

Persetujuan tersebut telah membolehkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila membantu tujuh (7) rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila pada 13 Februari 2022 untuk memasuki Filipina atas tujuan rasmi dan perniagaan.

 

Pada dasarnya, Kerajaan Malaysia mengiktiraf pengembara yang telah lengkap menerima vaksin yang diluluskan di bawah Senarai Kegunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau yang diluluskan oleh pihak berkuasa negara-negara tertentu. Walau bagaimanapun, pengiktirafan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan -kerajaan negara lain.

 

Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Filipina juga sepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 kedua-dua negara secara atas talian dengan sistem yang lebih selamat dan terjamin bagi memudahkan laluan kemasukan pengembara yang telah lengkap divaksinasi tersebut.

 

PUTRAJAYA

15 FEBRUARI 2022