Back

PERBINCANGAN ISU PEKHIDMAT DOMESTIK INDONESIA DI MALAYSIA

PERBINCANGAN ISU PEKHIDMAT DOMESTIK INDONESIA DI MALAYSIA

 

 Kementerian Luar Negeri hari ini telah mengadakan perbincangan susulan dengan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia bagi mendapatkan penjelasan lanjut ekoran beberapa laporan media yang memetik kenyataan-kenyataan beliau baru-baru ini berhubung isu pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia. Perbincangan pertama telah diadakan di Kementerian ini pada 16 Februari 2022.

 

Persefahaman telah dicapai supaya kedua-dua pihak perlu terus mengambil pendekatan positif dan konstruktif dalam mengendalikan isu-isu berkaitan pengambilan dan perlindungan PDI. Sebarang isu yang timbul akan disalurkan melalui kementerian/agensi kerajaan yang berkaitan. Langkah sebegini adalah penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

 

Perbincangan kali ini turut menyentuh status rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan PDI di antara Malaysia dan Indonesia, serta pendekatan dan hala tuju yang perlu diambil oleh kedua-dua pihak ke arah memuktamadkan rundingan dan pemeteraian MoU berkenaan dalam masa terdekat. Ini bagi memastikan proses pengambilan PDI diatur urus dengan baik dan isu perlindungan mereka terus diberi perhatian utama mengikut ketetapan dasar dan perundangan yang berkuat kuasa di kedua-dua negara.

 

Pendekatan positif dan konstruktif dalam isu pengambilan dan perlindungan PDI dapat memanfaatkan kedua-dua pihak dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan hubungan akrab dan komprehensif di antara Malaysia dan Indonesia.

 

 

 

PUTRAJAYA

21 Februari 2022