Back

PERKEMBANGAN SEMASA KONFLIK PALESTIN – ISRAEL Malaysia

PERKEMBANGAN SEMASA KONFLIK PALESTIN – ISRAEL

 

Malaysia sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam dan kemusnahan ekoran pertempuran yang telah berlarutan sejak 7 Oktober 2023.

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom secara keterlaluan dan sewenang-wenangnya kawasan-kawasan awam di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik dan makanan.

Kementerian Luar Negeri menjunjung kasih titah KDYMM SPB Tuanku Agong dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2023 termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran untuk mengelakkan pertumpahan darah. Dalam konteks ini, Malaysia turut kesal dengan kegagalan UNSC mencapai persetujuan dalam perkara ini.

Mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan-bekalan asas dan perubatan. Rejim Israel tidak berhak untuk menyekat saluran bantuan kemanusiaan.

Sebagai langkah awal, Kementerian Luar Negeri dalam proses untuk menyalurkan RM1 juta untuk sumbangan kemanusiaan awal dengan segera melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP). Seperti diumumkan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 9 Oktober, orang awam, agensi-agensi dan pertubuhan-pertubuhan yang ingin menyumbang melalui AAKRP boleh berbuat demikian di pautan https://forms.gle/PQiA5weQESnCB8pC8 atau mengimbas kod QR berikut:

Bank             : CIMB Islamic Bank Berhad
No Akaun      : 86-0030248-9
Nama Akaun : Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin

 

Memandangkan keadaan keselamatan yang masih meruncing pada masa ini Kementerian Luar Negeri menasihatkan supaya pihak yang ingin membuat perjalanan ke kawasan berkenaan menangguhkan perancangan mereka. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada Kementerian ini terlebih dahulu.

Pada masa ini, terdapat lima (5) rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga (3) anak di Tebing Barat. Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka. Kementerian Luar Negeri menasihatkan mana-mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara mara atau kenalan yang masih berada di kawasan konflik boleh berhubung dengan Kementerian bagi membolehkan bantuan dihulur sekiranya perlu di butiran berikut:

 

Kementerian Luar Negeri
Wisma Putra

Bahagian Asia Barat
No Telefon : 010 2884116 (Faizal)
: 011 14901787 (Hakim)


Pegawai Bertugas
(selepas waktu pejabat)
No Telefon : 03-8887 4570
Email : dutyofficer@kln.gov.my

Kedutaan Besar Malaysia
Amman, Jordan

No Telefon : +962 65902400
: +962 785902400
(selepas 3.30 petang waktu tempatan)
Email : mwamman@kln.gov.my

 

 

 

 


PUTRAJAYA
11 Oktober 2023