Back

PERKEMBANGAN SEMASA RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

 

PERKEMBANGAN SEMASA RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

 

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa sehingga 3 April 2020, terdapat seramai 3,026 orang rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terkandas di 45 buah negara. Negara India kekal merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara iaitu seramai 1,446 orang. Negara-negara lain yang mencatatkan sejumlah besar rakyat Malaysia yang terkandas adalah di Thailand (259 orang), Australia (152 orang), New Zealand (149 orang), Pakistan (144 orang), Vietnam (131 orang), Arab Saudi (121 orang), Filipina (97 orang), Sri Lanka (61 orang) dan Nepal (50 orang).

 

Daripada jumlah 3,026 orang rakyat Malaysia yang terkandas ini, seramai 2,016 orang sahaja adalah merupakan pelancong atau pelawat jangka pendek manakala selebihnya merupakan rakyat Malaysia yang menetap atau bermustautin di negara lain atas sebab pekerjaan atau pembelajaran, tetapi membuat perancangan untuk pulang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka boleh dikategorikan sebagai terkandas yang tidak kritikal.

 

Kementerian Luar Negeri seterusnya memaklumkan bahawa sehingga 3 April 2020, seramai 4,577 orang rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air sama ada secara proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun dibiayai secara persendirian.   Kerajaan menyambut baik hasrat mana-mana pihak untuk bekerjasama dalam menghulurkan bantuan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara.

 

INDIA

 

Sebanyak dua (2) penerbangan sewaan khas Malindo Airlines yang membawa 344 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada hari ini (3 April 2020) melalui penerbangan OD 210 dan OD 212 masing-masing pada jam 4.35 pagi dan 5.10 pagi.

 

Kementerian Luar Negeri sedang menyelaraskan usaha untuk membawa pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India. Sebanyak tujuh (7) penerbangan sewaan khas Malindo dijangka tiba pada 3 hingga 5 April 2020.

 

Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri dan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai telah menyelaraskan sembilan (9) penerbangan Air Asia dan dua (2) penerbangan Malindo Airlines membawa pulang seramai 2,361 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India. Usaha ini telah disokong dengan sumbangan kewangan daripada pihak Kongres India Se-Malaysia (MIC).

 

INDONESIA

 

Pada 2 April 2020, seramai 310 orang pelajar Malaysia di Indonesia telah pulang ke tanah air melalui beberapa penerbangan komersial. Seramai 126 orang pelajar Malaysia dijangka tiba di Malaysia pada hari ini, 3 April 2020 melalui feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor.

 

Kesemua pelajar tersebut telah pulang ke tanah air atas inisiatif dan tanggungan sendiri, dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan pejabat-pejabat Konsulat sebagai pemudahcara dalam urusan dengan pihak berkuasa Indonesia dan syarikat-syarikat penerbangan. 

 

Kementerian Luar Negeri ingin sekali lagi menekankan bahawa sebarang keputusan untuk membawa pulang pelajar-pelajar tajaan adalah tertakluk kepada situasi semasa di negara-negara yang terjejas serta pertimbangan pihak penaja. Wisma Putra dan Perwakilan-Perwakilan Malaysia di seberang laut kekal komited dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terpelihara dan sentiasa berusaha dalam kapasiti serta bidang kuasa yang ada untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

 

TIMUR TENGAH

 

Usaha-usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di negara-negara Timur Tengah turut melibatkan rundingan di peringkat pimpinan negara antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat. Pada 3 April 2020, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menghubungi Yang Amat Mulia Mohammad bin Salman, Putra Mahkota Arab Saudi merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi bagi membincangkan usaha untuk membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi selain kebajikan rakyat Arab Saudi di Malaysia. 

 

SUMBANGAN DARIPADA KERAJAAN BRUNEI DARUSSALAM

 

Dalam perkembangan yang lain, satu majlis penyerahan sumbangan 1000 unit Covid-19 Test Kits daripada Kerajaan Brunei Darussalam kepada Kerajaan Malaysia telah diadakan pada 3 April 2020 di Wisma Putra. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengiran Asnawi Arbi Pengiran Dato Paduka Hj Sharifuddin, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam di Malaysia kepada YBhg. Dato’ Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri. Kerajaan Brunei Darussalam merupakan antara negara terawal yang telah menyatakan hasrat untuk membuat sumbangan kepada Malaysia dalam menangani penularan pandemik COVID-19. Penyerahan sumbangan Brunei ini turut mempamerkan hubungan istimewa yang telah terjalin sepanjang 36 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara. Ini turut menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua negara sebagai negara anggota ASEAN dalam menangani krisis COVID-19.

 

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI 

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA
3 April 2020