Back

PERKEMBANGAN SEMASA RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

PERKEMBANGAN SEMASA RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa sehingga 4 April 2020, terdapat seramai 2,298 orang rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terkandas di 47 buah negara. Mereka merupakan rakyat Malaysia yang berada di luar negara bagi tujuan jangka masa pendek seperti melancong, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab seperti itu yang mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, atau tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung kos untuk terus berada di sana.

 

India merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara iaitu seramai 1,016 orang. Negara-negara lain yang mencatatkan sejumlah besar rakyat Malaysia yang terkandas adalah di Thailand (172 orang), New Zealand (136 orang), Pakistan (128 orang), Vietnam (122 orang), Arab Saudi (83 orang), Australia (77 orang), Filipina (66 orang), Sri Lanka (65 orang) dan Nepal (43 orang).

 

Setakat 4 April 2020, seramai 4,811 orang rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air sama ada melalui proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun dibiayai secara persendirian.  

 

INDIA

 

Dua penerbangan sewaan khas Malindo Air yang membawa 270 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Trichy telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari ini masing-masing melalui penerbangan OD210 pada jam 4.15 pagi dan penerbangan OD222 pada jam 4.51 petang. 

 

Kementerian Luar Negeri sedang giat menyelaras usaha untuk membawa pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India. Sebanyak tiga penerbangan sewaan khas Malindo Air dari New Delhi, Mumbai dan Chennai dijangka tiba pada 5 dan 6 April 2020. Sehingga jam 5.00 petang, 4 April 2020, seramai 2,567 rakyat Malaysia yang terkandas di India telah berjaya dibawa pulang.

 

Seterusnya berhubung dengan beberapa rakaman video yang tular sejak kebelakangan ini mengenai kedaifan pusat kuarantin di India yang menempatkan sekumpulan rakyat Malaysia, Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa rakyat Malaysia tersebut telah dikuarantin oleh pihak berkuasa India lanjutan penglibatan mereka dalam perhimpunan tabligh yang berlangsung di Markaz Nizamuddin pada 10-13 Mac 2020. Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh Kerajaan India untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Dalam perkara ini, Kementerian Luar Negeri menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah berhubung dengan Kerajaan India khususnya Kementerian Luar Negeri (MEA) India di mana mereka berjanji akan memberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya. Saya juga telah mengarahkan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi untuk melawat dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin tersebut.

 

Pada kesempatan ini, kami mohon kerjasama rakyat Malaysia untuk bersabar dan memahami bahawa proses membawa rakyat kita pulang memerlukan rundingan dan kadang-kadang memakan masa. Kementerian Luar Negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara akan terus diberikan keutamaan.

 

NEPAL

 

Sebuah pesawat sewaan khas Malindo Air (OD8184) membawa 66 penumpang yang terkandas di Nepal (43 rakyat Malaysia, 22 rakyat Singapura dan 1 rakyat UK – pasangan rakyat Malaysia) dijangka tiba di KLIA pada jam 8.05 malam ini. Penerbangan pesawat ini dibiayai sepenuhnya oleh Parti Kongres India Malaysia (MIC). Rakyat Singapura tidak akan menjalani proses kuarantin di Malaysia kerana mereka akan terus dibawa pulang menerusi sebuah pesawat khas sejurus ketibaan mereka di KLIA.

 

VIETNAM

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai 115 orang warganegara  Malaysia akan tiba di KLIA pada hari ini, jam 10.30 malam melalui penerbangan komersial MH 767 yang dijadualkan semula oleh Malaysia Airlines. Penerbangan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kolaborasi erat Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City bersama Malaysia Airlines.

 

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih kepada semua penjawat awam yang bekerja keras di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City atas inisiatif serta bantuan konsular yang dihulurkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

 

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI 

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA

4 April 2020