Back

PERKEMBANGAN SEMASA RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

PERKEMBANGAN SEMASA RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

 

INDIA

Seramai 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli (Trichy), India telah selamat tiba menerusi dua buah pesawat sewa khas Malindo Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini, Khamis, 2 April 2020, masing-masing pada jam 5.50 pagi dan 4.46 petang.

Penerbangan seterusnya daripada India dijadualkan tiba ke tanah air pada 3 hingga 6 April 2020 bagi membawa pulang seramai 1,790 rakyat Malaysia yang masih terkandas di India, termasuk di New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy.

 

AUSTRALIA

Sementara itu, seramai 266 rakyat Malaysia direkodkan masih terkandas di Australia. Seramai 59 rakyat Malaysia yang terkandas di Melbourne, Australia dijangka tiba di KLIA  hari ini, Khamis, 2 April 2020 pada jam 8.30 malam.

 

ALGERIA DAN CHAD

Menjawab persoalan yang tular di media sosial semalam berkenaan rakyat Malaysia yang terkandas di Algeria, pihak Wisma Putra telah ambil maklum tentang perkara tersebut. Buat masa ini, Kerajaan Algeria telah menggantung operasi semua penerbangan komersial di negara tersebut. Kedutaan Besar Malaysia di Algeria sedang dalam proses menguruskan satu penerbangan sewaan khas bagi membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

Berkenaan rakyat Malaysia yang terkandas di Chad, berdasarkan maklumat oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria, Lapangan Terbang N’djamena Chad akan terus ditutup sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Rakyat Malaysia yang terkandas di Chad dimohon untuk terus berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja melalui talian : +2347031365197.

Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di seberang laut akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terpelihara dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat. Wisma Putra turut mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkesan di luar negara akibat pandemik COVID-19.

 

MALAYSIA’S DIPLOMATIC EQUIPMENT STOCKPILE (MDES)

Melalui inisiatif MDES yang Wisma Putra lancarkan Selasa lepas, saya ingin memaklumkan, sebuah syarikat di Jepun, JAGAM (Tokyo Chapter) and Jounan Shoji Co. Ltd telah menyumbang sejumlah face masks khusus untuk perwakilan kita yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tokyo. Saya bagi pihak Wisma Putra, amat berterima kasih atas sumbangan ini dan saya sekali lagi mengalu-alukan semua pihak untuk turut menyumbang peralatan perubatan melalui inisiatif ini. Semoga dengan sumbangan ini, warga Wisma Putra di luar negara mempunyai kelengkapan perubatan yang mencukupi semasa menjalankan tugas khususnya di negara yang terjejas teruk akibat Covid-19.

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI 
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI


PUTRAJAYA
2 April 2020