Back

KEMATIAN WARGANEGARA MALAYSIA DI TOWNSVILLE, QUEENSLAND, AUSTRALIA

KEMATIAN WARGANEGARA MALAYSIA DI TOWNSVILLE, QUEENSLAND, AUSTRALIA

 

Kementerian Luar Negeri mengesahkan kematian seorang warganegara Malaysia, Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid, 16 tahun, akibat kemalangan semasa bermain papan luncur di Townsville, Queensland, Australia pada hari Sabtu, 28 Disember 2019. 

 

Susulan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia sentiasa berhubung dan memberi bantuan konsular kepada keluarga Allahyarham yang berada di Townsville (terletak lebih kurang 2,000 km dari Canberra). Disamping itu, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa dan agensi tempatan bagi mempercepatkan urusan-urusan dan dokumentasi untuk membawa pulang jenazah Allahyarham ke Malaysia. Pihak berkuasa dan agensi tempatan ini meliputi pejabat koroner Queensland di Brisbane, pegawai khidmat sosial di Hospital Townsville, syarikat pengurusan jenazah di Townsville, dan MASKargo di Brisbane.

 

Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada ahli keluarga Allahyarham serta memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati perasaan dan privasi ahli keluarga. Kementerian Luar Negeri akan terus berusaha memastikan agar semua urusan dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar.

 

 

PUTRAJAYA

30 Disember 2019