Back

SAMBUTAN HARI KOMANWEL 2022 ISNIN, 14 MAC 2022

 

SAMBUTAN HARI KOMANWEL 2022, ISNIN, 14 MAC 2022

 

Malaysia dan 53 negara-negara anggota Komanwel yang lain meraikan sambutan Hari Komanwel pada 14 Mac 2022. Hari Komanwel disambut setiap tahun pada Isnin minggu kedua bulan Mac bagi meraikan jalinan persamaan, ikatan persahabatan dan sumbangan Komanwel dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian.

 

Tema untuk Hari Komanwel 2022 adalah seiring dengan tema Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (Commonwealth Heads of Government Meeting – CHOGM) 2022 iaitu ‘Delivering a Common Future: Connecting, Innovating, Transforming. Ia berhasrat untuk mentransformasikan seluruh Komanwel menjadi masyarakat yang bertunjangkan nilai-nilai demokrasi, multilateralisme dan pembangunan mampan.

 

Komanwel telah ditubuhkan pada 1949 dan Malaysia menjadi negara anggota pada 1957. Sebagai ahli Komanwel, Malaysia telah menganjurkan CHOGM Ke-11 pada 1989. Pada sidang Kemuncak tersebut, Ketua-ketua Kerajaan telah memperakui Langkawi Declaration on the Environment. Dokumen tersebut menyeru agar negara-negara anggota mengukuhkan kerjasama dalam menangani isu-isu alam sekitar. Pada 1998, Malaysia menjadi negara Asia pertama menganjurkan Sukan Komanwel.

 

Malaysia mengalu-alukan penganjuran CHOGM Ke-26 di Kigali, Republik Rwanda pada Jun 2022. Semasa sidang Kemuncak tersebut, Ketua-ketua Kerajaan dijangka akan membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan pemulihan ekonomi pasca pandemik, akses kepada bekalan vaksin COVID-19 secara adil, selamat dan berpatutan, isu-isu alam sekitar dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

 

PUTRAJAYA

14 MAC 2022