Back

SESI KHAS KE-11 PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 28 FEBRUARI - 2 MAC 2022

 

SESI KHAS KE-11 PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)

28 FEBRUARI - 2 MAC 2022

 

Resolusi “Tindakan keganasan ke atas Ukraine” telah diterima pakai di Sesi Khas ke-11 pada 2 Mac 2022 (Waktu New York).

 

Resolusi tersebut telah mendapat sokongan sebanyak 141 undian berpihak, 5 membantah dan 35 berkecuali. Walaupun Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi tersebut, Malaysia telah menyatakan sokongan dan membuat undian ke atas resolusi berkenaan atas pendirian berprinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara yang amat penting kepada Malaysia.

 

Dalam kenyataan bagi menjelaskan undi negara, Malaysia telah mengulangi komitmen terhadap Piagam PBB, prinsip asas integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara yang seharusnya tidak dicabuli oleh mana-mana negara.

 

Menggariskan hubungan kerjasama yang erat dengan kedua-dua buah negara, Rusia dan Ukraine, Malaysia sedar situasi konflik ini adalah kompleks dan rumit berikutan keadaan geopolitik serta perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus menjadi kebimbangan bagi kedua-dua buah negara. Dalam hal ini, Malaysia berpandangan supaya negara–negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.

 

Dalam hal ini, Malaysia menyambut baik rundingan antara Rusia dan Ukraine di Belarus dan berharap agar rundingan tersebut berjaya.

 

Malaysia juga menggesa supaya Majlis Keselamatan PBB terus mencari jalan penyelesaian terhadap konflik tersebut dan melaksanakan peranan utamanya dalam memastikan keamanan dan keselamatan sejagat.

 

Sebagai sebuah negara anggota PBB yang bertanggungjawab, Malaysia mengulangi komitmen berterusan negara terhadap penyelesaian secara damai.

 

Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik tersebut demi mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta kemakmuran sejagat.

 

PUTRAJAYA

3 Mac 2022