Back

SESI PEMUKIMAN MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN DAN MESYUARAT-MESYUARAT BERKAITAN 15 – 17 FEBRUARI 2022

 

SESI PEMUKIMAN MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN DAN MESYUARAT-MESYUARAT BERKAITAN 15 – 17 FEBRUARI 2022

 

YB Dato' Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN pada 16 hingga 17 Februari 2022 di Phnom Penh, Kemboja. Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ini merupakan mesyuarat berjadual yang pertama bagi Negara-negara Anggota ASEAN untuk tahun 2022.

 

Sesi Pemukiman ini akan didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN (SOM) pada 15 hingga 16 Februari 2022. Delegasi Malaysia ke ASEAN SOM akan diketuai oleh YBhg. Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri merangkap Pegawai Kanan ASEAN-Malaysia.

 

Kemboja merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2022 dengan bertemakan “ASEAN A.C.T.: Addressing Challenges Together”. Sesi Pemukiman tersebut akan dipengerusikan oleh TYT Prak Sokhonn, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, dengan penyertaan Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN serta wakil dari Myanmar.

 

Antara isu yang akan dibincangkan oleh para Menteri Luar Negeri ASEAN adalah pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap keputusan-keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak yang Berkaitan; dan hubungan luar ASEAN. Di samping itu, Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN juga akan membincangkan inisiatif-inisiatif untuk menggerakkan bidang-bidang keutamaan dan agenda ASEAN di bawah Kepengerusian Kemboja 2022; serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

 

Dalam usaha Negara-negara Anggota ASEAN ke arah membangunkan Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025, Malaysia selaku Peneraju Utama dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025, kekal komited untuk mendukung Kepaksian ASEAN dan menyokong Kemboja selaku Pengerusi bagi memastikan kemajuan berterusan ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

Lawatan ini akan dikendalikan dengan mematuhi sepenuhnya tatacara-tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Kemboja.

 

PUTRAJAYA

15 FEBRUARI 2022