Back

SITUASI RAKYAT MALAYSIA DI NEGARA-NEGARA BENUA AFRIKA

SITUASI RAKYAT MALAYSIA DI NEGARA-NEGARA BENUA AFRIKA
 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan sehingga 1 Jun 2020, seramai 6,234 orang rakyat Malaysia yang kini masih berada di negara-negara di benua Afrika telah berdaftar dengan Kerajaan Malaysia. Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di Afrika memantau rapat perkembangan kes COVID-19 di benua berkenaan dan senantiasa menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak oleh kerajaan-kerajaan negara di benua tersebut.

 

Pada masa yang sama, Kementerian ini mengambil berat permasalahan yang dilaporkan dan sebagaimana tular di media sosial melibatkan rakyat Malaysia di Mesir, Sudan serta Nigeria. Dalam hal ini, usaha berterusan Kementerian Luar Negeri menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Mesir sehingga hari ini telah memudahcara kepulangan seramai 5,291 orang pelajar ke tanah air walaupun situasi di negara tersebut masih terkawal, dan operasi penerbangan komersial masih digantung berikutan pelaksanaan arahan kawalan pergerakan oleh pihak berkuasa Mesir sejak Mac tahun ini.

 

Di samping itu, Kementerian ini melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di Afrika terus berusaha menyediakan alternatif terbaik bagi membantu rakyat Malaysia di rantau tersebut yang terjejas berikutan penutupan sempadan dan penggantungan operasi penerbangan komersial antaranya, menyelaras maklumat penerbangan komersial bagi membawa rakyat Malaysia ke negara ketiga yang mempunyai penerbangan ke Kuala Lumpur, serta mencari alternatif kaedah penerbangan yang bersesuaian dan pada kos yang berpatutan.

 

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri juga turut mengalu-alukan penglibatan mana-mana individu, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu memudahcara kepulangan rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak COVID-19 oleh kerajaan-kerajaan di benua Afrika ini.

 

Warga Malaysia di luar negara dinasihatkan untuk terus berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang berkenaan bagi mendapatkan perkembangan berkaitan perkara ini dari semasa ke semasa.

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA
7 Jun 2020