Back

SITUASI RAKYAT MALAYSIA DI SINGAPURA

SITUASI RAKYAT MALAYSIA DI SINGAPURA

 

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) sentiasa memberi keutamaan terhadap usaha membantu rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan kerumitan, khususnya di negara-negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19. Ini termasuk rakyat Malaysia yang menetap serta bekerja di Singapura.

Wisma Putra ambil maklum, susulan keputusan Kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020, sebahagian rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menghadapi kesulitan. Antara kesulitan yang dihadapi mereka ialah tidak dapat berulang alik dari Johor untuk bekerja. Selain itu, menurut laporan media yang tular semalam, mereka juga didakwa berdepan kesukaran untuk mendapatkan tempat penginapan, sehingga ada di antara mereka yang terpaksa bermalam di stesen MRT Singapura.

Sesungguhnya, Wisma Putra amat memandang serius laporan media ini. Justeru, saya ingin memaklumkan bahawa sejak semalam, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dengan kerjasama Malaysian Association in Singapore (MASIS) serta pihak berkuasa Singapura sedang giat mengenalpasti kesemua rakyat Malaysia di Singapura yang terbabit dalam permasalahan ini.

Sebagai mengulas laporan media berkenaan, Kementerian Luar Negeri telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Singapura telah menyediakan kemudahan sementara di Jurong East Sports Complex, sementara majikan mereka mendapatkan kediaman yang sesuai. Tinjauan yang dijalankan mendapati bahawa terdapat rakyat Malaysia yang telah mendapatkan penempatan sementara di Jurong East Sports Complex tersebut.  

Saya menggesa rakyat Malaysia di Singapura yang mengadapi masalah penginapan atau sebarang bentuk kerumitan, supaya segera menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura. Ia amat penting bagi membolehkan Perwakilan kita di sana menghulurkan bantuan konsular sewajarnya.

 

SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA DI SINGAPURA

Alamat            : 301, Jervois Road, Singapore 249077.

Telefon          : +65-6235 0111

E-Mel             : mwsingapore@kln.gov.my

Laman Web  : https://www.kln.gov.my/web/sgp_singapore/home

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI 
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA
20 Mac 2020