Back

SUMBANGAN RM 5 JUTA DARIPADA MALAYSIA KEPADA PALESTIN UNTUK PEMBINAAN SEMULA KLINIK AL-RIMAL DI GAZA DAN SUMBANGAN SECARA JANGKA PANJANG USD 1 JUTA KEPADA UNITED NATIONS RELIEF AND WORKS AGENCY FOR PALESTINE REFUGEES IN THE NEAR EAST (UNRWA)

SUMBANGAN RM 5 JUTA DARIPADA MALAYSIA KEPADA PALESTIN UNTUK

PEMBINAAN SEMULA KLINIK AL-RIMAL DI GAZA DAN 

SUMBANGAN SECARA JANGKA PANJANG USD 1 JUTA KEPADA

UNITED NATIONS RELIEF AND WORKS AGENCY FOR PALESTINE REFUGEES IN

THE NEAR EAST (UNRWA)

 

Kerajaan Malaysia pada hari ini telah memuktamadkan Nota Pertukaran (Exchange of Notes) dengan Kerajaan Palestin bagi sumbangan

RM 5 juta untuk pembinaan semula Klinik Al-Rimal. Klinik tersebut menempatkan makmal pengujian COVID-19 di Gaza yang telah musnah

akibat serangan Israel pada bulan Mei 2021. Sumbangan tersebut menggunakan peruntukan daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah

Bantuan Bencana Negara (KWABBN) di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri.

 

Nota Pertukaran ini telah ditandatangani oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri dan Tuan Yang Terutama Walid Abu Ali,

Duta Besar Palestin ke Malaysia.

 

Sumbangan ini mencerminkan sokongan teguh Kerajaan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Palestin. Serangan berterusan Israel ke

atas Gaza telah memusnahkan infrastruktur awam di Gaza, termasuk fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan rawatan

perubatan kritikal kepada rakyat Palestin semasa pandemik COVID-19.

 

Kerajaan Malaysia juga memutuskan untuk membuat sumbangan berjadual secara jangka panjang kepada United Nations Relief and

Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA), bagi menyokong usaha-usaha agensi berkenaan dalam memberikan

bantuan kepada rakyat Palestin. Sebagai tambahan ke atas sumbangan-sumbangan kewangan terdahulu kepada UNRWA, Kerajaan telah

memperuntukkan USD 1 juta. Sumbangan ini akan disalurkan secara tahunan iaitu sebanyak USD200,000 setiap tahun bagi tempoh lima

(5) tahun dari 2021 sehingga 2025.

 

 

Sumbangan-sumbangan daripada Kerajaan ini melengkapi usaha dan bantuan kemanusiaan dari Malaysia, termasuk yang dilaksanakan

oleh sektor swasta, badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), serta individu-individu perseorangan.

 

Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa serta menghulurkan

bantuan kemanusiaan dan pembangunan kapasiti kepada Palestin.

 

 

PUTRAJAYA

14 OKTOBER 2021