Back

SURUHANJAYA ANTARA KERAJAAN ASEAN MENGENAI HAK ASASI MANUSIA (AICHR) AKAN MENGADAKAN MESYUARAT KE-41 DI JAKARTA BAGI MEMPERKUKUH KERJASAMA DAN PERLINDUNGAN HAK ASASI MANUSIA SELARI DENGAN WAWASAN KOMUNITI ASEAN 12-16 MEI 2025

SURUHANJAYA ANTARA KERAJAAN ASEAN MENGENAI HAK ASASI

MANUSIA (AICHR) AKAN MENGADAKAN MESYUARAT KE-41 DI JAKARTA

BAGI MEMPERKUKUH KERJASAMA DAN PERLINDUNGAN HAK ASASI

MANUSIA SELARI DENGAN WAWASAN KOMUNITI ASEAN

12-16 MEI 2025 

 

Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) akan mengadakan Mesyuarat ke-41 di Sekretariat ASEAN, Jakarta, dari 12 hingga 16 Mei 2025. Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Edmund Bon Tai Soon, Wakil Malaysia ke AICHR merangkap Pengerusi AICHR bagi tahun 2025, dan akan menghimpunkan sepuluh Wakil/ Wakil Alternatif AICHR, Wakil Timor-Leste (sebagai Pemerhati), serta pegawai-pegawai dari Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat ini akan membincangkan perkembangan terkini hak asasi manusia di ASEAN dan draf Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan. AICHR juga akan meneliti Rancangan Kerja Lima Tahun AICHR (Five-Year Work Plan - FYWP) bagi tahun 2026 hingga 2030 serta Program Keutamaan AICHR bagi tahun hadapan.

Sebagai persediaan bagi sesi antara Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) yang ke-15 bersama AICHR yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai 2025 di Kuala Lumpur, AICHR juga akan memuktamadkan Laporan Tahunan 2025 untuk dibentangkan kepada AMM berhubung kemajuan, cabaran serta halatuju masa depan AICHR.

Selain itu, AICHR akan turut mengadakan pertemuan bersama Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR), Kumpulan Kerja bagi Mekanisme Hak Asasi Manusia ASEAN (Working Group for an ASEAN Human Rights Mechanism - WGAHRM), Gabungan Hak Kanak-Kanak Asia (termasuk penglibatan kanak-kanak dan wakil Suruhanjaya ASEAN Mengenai Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak – ACWC), Rangkaian Universiti ASEAN – Pendidikan Hak Asasi Manusia (ASEAN University Network–Human Rights Education - AUN-HRE), serta rakan dialog Australia, Norway, Jepun, Kesatuan Eropah, Switzerland dan Republik Korea.

Kepimpinan Malaysia dalam mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memajukan promosi dan perlindungan hak asasi manusia melalui dialog serantau serta penerokaan bidang kerjasama baharu. Mesyuarat ini dijangka memperkukuh kerjasama ASEAN dalam bidang hak asasi manusia ke arah mencapai matlamat yang digariskan dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 dan Wawasan Komuniti ASEAN.

 

PUTRAJAYA

12 Mei 2025