Back

USAHA SAMA REPATRIASI RAKYAT MALAYSIA DAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

USAHA SAMA REPATRIASI RAKYAT MALAYSIA DAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan susulan hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam, satu jalinan usaha sama untuk membawa pulang rakyat Malaysia dan Negara Brunei Darussalam ke negara masing-masing telah dilaksanakan.

Dalam hal ini, 84 rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir telah menaiki pesawat sewaan khas Kerajaan Negara Brunei Darussalam dari Kaherah ke Bandar Seri Begawan, yang turut membawa warganegaranya yang terkandas di sana. Pesawat tersebut telah tiba di Bandar Seri Begawan pada jam 9:08 pagi tadi.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut membantu usaha Kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi membawa pulang kira-kira 134 rakyatnya yang terkandas di Malaysia. Mereka telah dibawa pulang melalui pesawat Malaysia Airlines yang berlepas ke Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan pada hari ini, 29 Mac 2020 jam 5:15 pagi tadi. Pesawat yang sama kemudiannya membawa 84 rakyat Malaysia yang baru tiba dari Mesir dan 25 rakyat Malaysia yang terkandas di Brunei untuk pulang ke Malaysia dan mereka telah selamat tiba di Kuala Lumpur pada jam 12:11 tengahari tadi.Patik, bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas perkenan kebenaran 84 rakyat Malaysia untuk turut serta pulang menaiki pesawat yang dihantar oleh Kerajaan Brunei Darussalam.

Usaha ini juga tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama erat dua hala termasuk penglibatan beberapa pihak yang terlibat seperti Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Putrajaya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan, Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, Education Malaysia Global Services (EMGS), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan bahawa keselamatan, kesihatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara tidak diabaikan. Kerajaan akan terus komited di dalam menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Dalam situasi yang mencabar ini, Kerajaan mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan dalam usaha Kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

 

YB DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI 
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA
29 Mac 2020