Back

WARGANEGARA MALAYSIA MENJALANI HUKUMAN MATI DI SINGAPURA

 

WARGANEGARA MALAYSIA MENJALANI HUKUMAN MATI DI SINGAPURA

 

Dukacita dimaklumkan bahawa seorang tahanan warganegara Malaysia di Singapura, Encik Nagaenthran a/l K Dharmalingam telah menjalani hukuman mati pada awal pagi ini, 27 April 2022.

 

Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura telah mengikuti rapi perkembangan kes ini sejak beliau ditahan pada 22 April 2009. Pihak Suruhanjaya Tinggi telah menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam memberikan bantuan konsular kepada Encik Nagaenthran sepanjang berada dalam tahanan bagi memastikan hak dan kebajikan beliau sentiasa terpelihara.

 

Kerajaan Malaysia melalui YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Luar Negeri minggu ini telah sekali lagi mengutuskan surat kepada rakan sejawat mereka di Singapura sebagai usaha bagi memohon Kerajaan negara itu menimbang dan meringankan hukuman yang dikenakan ke atas beliau. Surat tersebut turut menyatakan keterbukaan Kerajaan Malaysia untuk berbincang dengan Kerajaan Singapura bagi melaksanakan Program Pemindahan Banduan Antarabangsa di antara Malaysia – Singapura.

 

Kerajaan telah berusaha membantu Encik Nagaenthran sejak dahulu. Pada November 2021, YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Luar Negeri telah menghantar surat pertama kepada kerajaan Singapura. Pada Disember 2021, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI juga telah mengutuskan warkah kepada Puan Yang Terutama Presiden Republik Singapura bagi meringankan hukuman ke atas Encik Nagaenthran.

 

Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan di atas maklum balas yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Singapura dan menghormati sistem perundangan negara itu. Dalam masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Singapura atas bantuan yang telah diberikan sepanjang tempoh tahanan dan perbicaraan Encik Nagaenthran.

 

Jemaah Menteri juga sedia maklum akan pelaksanaan hukuman mati yang telah dilaksanakan ke atas Encik Nagaenthran. KLN berterima kasih di atas penglibatan pertubuhan-pertubuhan serta organisasi bukan kerajaan yang berusaha supaya pelaksanaan hukuman mati ke atas Encik Nagaenthran dapat dikurangkan, selain inisiatif untuk memansuhkan hukuman mati.

 

KLN mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Encik Nagaenthran. Kementerian melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada ahli keluarga beliau.

 

PUTRAJAYA

27 April 2022