Back

LAWATAN KERJA YB DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH, MENTERI LUAR NEGERI KE AUSTRALIA 29 NOVEMBER - 2 DISEMBER 2019

LAWATAN KERJA YB DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH,

MENTERI LUAR NEGERI KE AUSTRALIA

29 NOVEMBER - 2 DISEMBER 2019

 

YB Dato' Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan mengadakan lawatan kerja ke Australia pada 29 November hingga 2 Disember 2019. Lawatan ini merupakan lawatan pertama beliau ke Australia semenjak memegang jawatan Menteri Luar Negeri pada Julai 2018.

YB Dato' Saifuddin Abdullah akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, PYT Senator Marise Payne dan mengetuai delegasi Malaysia ke Annual Foreign Ministers’ Meeting ke-2 (AFMM) pada 29 November 2019 di Sydney. Kedua-dua Menteri akan mengambil peluang bagi membincangkan isu hubungan dua hala sedia ada, selain mencorak hala tuju bagi memperkembang kerjasama antara kedua-dua negara selaras dengan Deklarasi Bersama Perkongsian Strategik.  Kedua-dua Menteri juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Satu Kenyataan Bersama mengenai hasil AFMM ke-2 akan dikeluarkan di akhir mesyuarat.

Setelah tamat AFMM, kedua-dua Menteri dijadualkan untuk menandatangani Perjanjian Usaha Sama Penerbitan Filem antara Kerajaan Malaysia dan Australia. YB Menteri selanjutnya akan menghadiri sesi meja bulat di Institut Lowy bagi menerangkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu.

YB Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya bagi Diskriminasi Kaum, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan wakil-wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO) Australia di Melbourne.

Selain itu, beliau turut dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakyat Malaysia yang bermastautin danpeneraju-peneraju industridi Sydney dan Melbourne.

Australia merupakan rakan kongsi yang akrab dan penting kepada Malaysia. Lawatan ini bakal memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin, selain mengukuhkan komitmen masing-masing di bawah Deklarasi Bersama Perkongsian Strategik.

Hubungan dagangan dan pelaburan Malaysia-Australia juga adalah signifikan. Pada tahun 2018, jumlah dagangan adalah bernilai USD 13.64 bilion, menjadikan Malaysia rakan dagang ke-8 terbesar Australia. Bagi tempoh Januari hingga September 2019, jumlah dagangan direkodkan pada USD 8.18 bilion. Selain itu, sebanyak 547 pelaburan dari Australia bernilai USD 7.46 bilion telah diluluskan di Malaysia, manakala pelaburan Malaysia di Australia pula bernilai AUD 9 bilion.

 

 

PUTRAJAYA

28 November 2019