Asset Publisher
11 ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI KEMBOJA SELAMAT DIHANTAR PULANG KE MALAYSIA
11 ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI KEMBOJA
SELAMAT DIHANTAR PULANG KE MALAYSIA
Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh telah berjaya menghantar pulang 11 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Sihanoukville, Kemboja.
Salah seorang daripada mereka telah pulang ke Malaysia pada 25 Oktober 2024, manakala baki 10 orang lagi dijadualkan tiba di Malaysia pada hari ini, 1 November 2024.
KLN ingin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja yang berkenaan atas kerjasama dan bantuan mereka dalam menyelamatkan dan memfasilitasi kepulangan mangsa ke Malaysia.
KLN akan terus meningkatkan usaha untuk menangani isu warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Kementerian ini sekali lagi ingin mengingatkan warganegara Malaysia yang berminat mencari pekerjaan di luar negara agar berhati-hati dan memastikan kesahihan pekerjaan yang ditawarkan. Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan imigresen semasa berada di luar negara.
PUTRAJAYA
1 November 2024