Asset Publisher
LAWATAN KERJA OLEH TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI ITALI 20 JANUARI 2025
LAWATAN KERJA OLEH TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI ITALI
20 JANUARI 2025
Puan Yang Terutama Maria Tripodi, Timbalan Menteri Luar Negeri Itali telah mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia pada 20 Januari 2025. Ini merupakan lawatan pertama PYT Tripodi ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Oktober 2022.
YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri telah mengadakan mesyuarat dua hala dan menghoskan jamuan makan tengahari dengan PYT Tripodi di Kuala Lumpur. Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua pihak menilai hubungan dua hala Malaysia-Itali dan meneroka peluang kerjasama baharu, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga dan alam sekitar, pelancongan, dan pendidikan tinggi. Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Kepresidenan Kumpulan Tujuh (G7) 2024 oleh Itali dan situasi semasa di Timur Tengah.
Itali menjadi Rakan Kongsi Pembangunan ASEAN pada tahun 2020, dengan Rakan Kongsi Pembangunan ASEAN-Itali: Bidang Kerjasama Praktikal 2021-2026 berfungsi sebagai kerangka kerjasama praktikal antara ASEAN dan Itali. PYT Tripodi turut menzahirkan sokongan Itali terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
PYT Tripodi juga telah bertemu dengan YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; dan YBhg. Raja Dato’ Nushirwan bin Zainal Abidin, Ketua Pengarah Keselamatan Negara.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Itali meningkat sebanyak 2.1% kepada RM13.44 bilion (USD2.92 bilion) berbanding RM13.16 bilion (USD2.90 bilion) untuk tempoh yang sama pada tahun 2023. Pada tahun 2023, Itali adalah rakan dagang kelima terbesar Malaysia di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM14.32 bilion (USD3.15 bilion). Sehingga tahun 2024, sebanyak 137 projek dengan penyertaan syarikat-syarikat Itali telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.53 bilion (USD967.9 juta) yang berpotensi mewujudkan 11,496 pekerjaan.
PUTRAJAYA
20 Januari 2025