Asset Publisher

Back

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE BELGIUM 19-20 JANUARI 2025

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE BELGIUM

19-20 JANUARI 2025

 

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan Lawatan Kerja ke Belgium pada 19 dan 20 Januari 2025 selepas lawatan kerja ke United Kingdom (UK). Ini merupakan lawatan pertama beliau ke negara tersebut sejak menyandang jawatan Perdana Menteri, dan diadakan bagi mengukuh hubungan Malaysia dengan Belgium dan Kesatuan Eropah (EU).

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; dan YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi.

Semasa lawatan beliau, YAB Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan TYT Alexander De Croo, Perdana Menteri Kerajaan Sementara Belgium bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium, usaha untuk memperkukuh kerjasama serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

YAB Perdana Menteri juga dijadual bertemu TYT Antonio Costa, Presiden Majlis Eropah. Kedua-dua pihak akan membincangkan usaha memperkasa hubungan Malaysia-EU serta kerjasama serantau.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, YAB Perdana Menteri akan mengetengahkan keutamaan Malaysia dan aspirasi global ASEAN dalam menangani cabaran antarabangsa, serta meneroka ruang untuk mempererat lagi hubungan dialog ASEAN-EU. YAB Perdana Menteri juga akan menekankan usaha memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dalam kerangka yang inklusif, mampan dan berorientasikan masa depan.

YAB Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan ucapan khas bertajuk “Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience” di College of Europe.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan EU, termasuk Belgium, mencatat nilai sebanyak RM200 bilion (USD43.71 bilion). Sehingga kini, sebanyak 1,345 projek pembuatan melibatkan EU telah dilaksanakan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan berjumlah RM239.90 bilion (USD59.80 bilion), yang telah mewujudkan 155,933 peluang pekerjaan. Pada 20 Januari 2025, YAB Perdana Menteri akan berangkat ke Switzerland untuk menghadiri World Economic Forum di Davos.

 

PUTRAJAYA

18 Januari 2025