Asset Publisher
LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK RAKYAT CHINA 4-7 NOVEMBER 2024
LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK RAKYAT CHINA
4-7 NOVEMBER 2024
Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Rakyat China (RRC) dari 4 hingga 7 November 2024, di atas jemputan TYT Li Qiang, Premier Republik Rakyat China untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (China International Import Expo - CIIE) Ke-7 di Shanghai. Tahun ini, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai Country of Honour di CIIE Ke-7.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; dan YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia.
Semasa di Shanghai, YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama TYT Li Qiang bagi berbincang hubungan dua hala susulan perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun 2024 serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
CIIE merupakan inisiatif Kerajaan Republik Rakyat China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) untuk mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China. Semasa majlis pembukaan CIIE Ke-7, YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Astaka Malaysia dan Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia – ACCCIM) serta mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan dan mengadakan sesi meja bulat dengan kapten industri dari China.
YAB Perdana Menteri juga akan melawat Beijing pada 6 dan 7 November, di mana beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Xi Jinping, Presiden Republik Rakyat China. Beliau juga akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre.
Lawatan ini dijangka akan mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini. Bagi lima belas tahun berturut-turut sejak tahun 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar. Pada tahun 2023, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion), yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia. Sehingga September 2024, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM355.15 bilion (USD76.72 bilion). Pada separuh tahun pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (USD 252.5 juta).
PUTRAJAYA
3 November 2024