Asset Publisher

Back

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE MESYUARAT TAHUNAN FORUM EKONOMI SEDUNIA DI DAVOS, SWITZERLAND 21 – 22 JANUARI 2025

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE MESYUARAT

TAHUNAN FORUM EKONOMI SEDUNIA DI DAVOS, SWITZERLAND

21 – 22 JANUARI 2025 

 

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) 2025 pada 21 dan 22 Januari 2025 di Davos, Switzerland. Beliau akan diiringi oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; dan YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital.

Bertemakan “Collaboration for the Intelligence Age”, Mesyuarat Tahunan tersebut menghimpunkan pemimpin-pemimpin global dan perniagaan bagi membincangkan cabaran-cabaran global utama. Perbincangan akan bertumpu kepada lima keutamaan tematik iaitu: “Industries in the Intelligent Age”; “Rebuilding Trust; Reimagining Growth”; “Investing in People”; dan “Safeguarding the Planet”.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, YAB Perdana Menteri akan memanfaatkan platform WEF bagi mengetengahkan isu-isu utama yang selari dengan keutamaan-keutamaan strategik ASEAN dan Malaysia. YAB Perdana Menteri akan menyampaikan Ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: ASEAN Plenari yang bertajuk “Even Stronger Together” dan mengambil bahagian dalam satu perbincangan interaktif mengenai keutamaan-keutamaan ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia dan kepentingan rantau Asia Tenggara dalam pembentukan lanskap ekonomi global.

YAB Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi taklimat bersama pihak media antarabangsa, bertajuk “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness”, yang memfokuskan kepada ekonomi digital dan peluang transformatif di rantau ASEAN.

YAB Perdana Menteri akan mengambil bahagian dalam Dialog Strategi Negara, sesi yang disusun khas bersama pemimpin-pemimpin perniagaan dari syarikat-syarikat global. Antara pengisian yang akan dikongsikan oleh YAB Perdana Menteri adalah keutamaan dan inisiatif strategik Malaysia dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain meneroka peluang-peluang kerjasama.

Beliau juga akan mengambil bahagian dalam Jamuan Tengahari Informal Gathering of World Economic Leaders (IGWEL) bersama Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan lain, dan mengambil bahagian dalam sesi Dialog Eksklusif bersama Profesor Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WEF. YAB Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatnya dan pemimpin-pemimpin perniagaan terkemuka di sela-sela WEF 2025.

 

PUTRAJAYA

20 Januari 2025