Asset Publisher
YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID DIPILIH SEBAGAI PRESIDEN SESI KE-13 PERHIMPUNAN AKADEMI ANTI-RASUAH ANTARABANGSA
YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID DIPILIH SEBAGAI PRESIDEN SESI KE-13
PERHIMPUNAN AKADEMI ANTI-RASUAH ANTARABANGSA
Malaysia mengalu-alukan kejayaan pemilihan YB Dato' Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) sebagai Presiden Sesi Ke-13 Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) pada 30 Oktober 2024 di Vienna, Austria.
Pemilihan YB Dato’ Sri Azalina dimuktamadkan secara sebulat suara dan merupakan satu pencapaian bersejarah memandangkan Malaysia buat julung kalinya diberi penghormatan memegang jawatan tersebut. Ia mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Kerajaan Madani dalam usaha memerangi rasuah. Ia juga menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan YB Dato’ Sri Azalina dalam reformasi undang-undang dan tadbir urus.
IACA ditubuhkan pada 2011 di Austria. Fungsi utama badan ini ialah sebagai pusat kecemerlangan dan penyelidikan antarabangsa bagi pembanterasan rasuah dan menjadi pusat latihan utama bagi kumpulan profesional terutamanya dari kalangan agensi-agensi pencegahan rasuah. Malaysia, melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan aktif dalam IACA dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa sebanyak empat kali sebelum ini.
Malaysia merakamkan penghargaan di atas kepercayaan dan sokongan padu yang diberikan oleh anggota IACA di atas pemilihan YB Dato' Sri Azalina. Malaysia kekal komited untuk bekerjasama erat dengan IACA dan rakan-rakan perkongsian strategik dalam memacu agenda anti-rasuah dan menegakkan prinsip keadilan dan tatakelola yang baik di peringkat antarabangsa.
PUTRAJAYA
30 Oktober 2024