Speeches & Statements Speeches & Statements

Back

KENYATAAN MEDIA YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI LUAR NEGERI KUALA LUMPUR, 13 MAC 2020 (JUMAAT)

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI LUAR NEGERI

 

KUALA LUMPUR, 13 MAC 2020 (JUMAAT)

 

 

  1. Wisma Putra Pantau Rapat Perkembangan Covid-19

Saya bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) serta Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa memantau secara rapat perkembangan penularan wabak COVID-19. Saya juga ingin menegaskan bahawa kita amat memandang serius soal kesejahteraan serta tahap kesihatan rakyat Malaysia terutamanya di negara-negara yang terjejas teruk akibat COVID-19 ini.

 

Justeru, saya telah mengarahkan Timbalan saya, YB Dato’ Kamaruddin Jaffar untuk ketuai satu Taskforce di Wisma Putra yang ditugaskan khusus meneliti secara terperinci perkembangan rakyat Malaysia di luar negara. Laporan daripada Taskforce ini akan dimaklum terus kepada rakyat dari masa ke masa.

 

Setakat ini, Wisma Putra telah mengenal pasti seramai 11 orang rakyat Malaysia di luar negara yang dijangkiti COVID-19. Jumlah yang dijangkiti ini melibatkan seramai 9  orang rakyat Malaysia di Singapura (2 telah dibenar keluar, 7 lagi masih dirawat di Singapura) dan 2 orang rakyat Malaysia di Jepun (kedua-dua telah pulang ke Malaysia).

 

Sementara itu, demi memastikan rakyat kita di luar negara dipantau rapi, saya ingin memaklumkan bahawa Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia juga sentiasa mengemaskini rekod rakyat Malaysia di negara yang terjejas. Sehingga semalam, bilangan rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Perwakilan Malaysia di 10 negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 ialah seperti berikut:

 

  1. China                        : 14,929
  2. Republik Korea       : 4,297
  3. Itali                            : 380
  4. Iran                           : 67
  5. Jepun                       : 6,019
  6. Perancis                  : 2,401
  7. Jerman                     : 2,218
  8. Sepanyol                 : 150
  9. Amerika Syarikat     : 23,179
  10. Switzerland              : 790

 

Jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Perwakilan Malaysia ini tidak termasuk penjawat awam serta ahli keluarga mereka yang sedang berkhidmat di Perwakilan. Jumlah penjawat awam dan ahli keluarga mereka ialah seperti berikut:

 

  1. China                        : 322
  2. Republik Korea       : 53
  3. Itali                            : 35
  4. Iran                           : 25
  5. Jepun                       : 74
  6. Perancis                  : 53
  7. Jerman                     : 59
  8. Sepanyol                 : 9
  9. Amerika Syarikat     : 172
  10. Switzerland              : 39

 

Mengambil kira jumlah rakyat Malaysia di luar negara yang agak ramai, saya menggesa mereka yang belum mendaftar dengan Perwakilan-Perwakilan kita yang terdekat, untuk segera berbuat demikian. Tindakan mendaftar ini penting demi memudahkan lagi Pihak Perwakilan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mereka yang memerlukan. Pihak Perwakilan di negara masing-masing boleh dihubungi melalui talian yang tertera seperti dalam pautan berikut:

 

https://www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission 

 

Dalam pada itu, saya juga ingin menasihatkan seluruh rakyat Malaysia sama ada di dalam mahupun luar negara agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Pada masa sama, patuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa. Sekiranya terdapat simptom-simptom COVID-19, segera dapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

 

Saya berjanji, akan terus memberi perhatian sepenuhnya kepada rakyat Malaysia di luar negara. Kita juga akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini tentang COVID-19. Marilah kita sama-sama doakan, semoga krisis COVID-19 ini segera berakhir.

 

  1. Situasi semasa keadaan rakyat Malaysia di Wuhan

Berhubung misi membawa pulang  rakyat Malaysia dari Wilayah Wuhan, Wisma Putra sentiasa berhubung dengan Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Hubei (Hubei FAO) bagi memohon keizinan agar lima orang rakyat Malaysia yang masih terkandas di Wuhan boleh berlepas pulang dari Lapangan Terbang Changsha di wilayah Hunan.

 

Lima orang rakyat Malaysia yang masih terkandas dan disahkan bebas dari COVID-19 ini ialah :

 

  1. Ling Ming Sze
  2. Wong Siong Fung
  3. Ling Chun Hong
  4. Yong Su Ming
  5. Ling Nai Hua

 

Wisma Putra juga telah memberi butiran perjalanan mereka kepada Hubei FAO termasuk nombor pendaftaran kereta, maklumat pemandu serta laluan yang akan mereka gunakan. Setakat ini, Wisma Putra masih menantikan jawapan daripada Kerajaan China dan Hubei FAO juga sedang berusaha membantu dengan sebaik mungkin.

 

Maklumat berhubung perkara ini, akan dimaklumkan dari masa ke masa. Saya beri jaminan, Wisma Putra akan terus berusaha sedaya upaya demi memastikan kelima-lima rakyat Malaysia ini dapat dibawa pulang dengan secepat mungkin. InsyaAllah.

 

 

=tamat=