Speeches & Statements Speeches & Statements

Back

KENYATAAN MEDIA YB. DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA PERKEMBANGAN INISIATIF MALAYSIA’S DIPLOMATIC EQUIPMENT STOCKPILE KUALA LUMPUR, 9 APRIL 2020 (KHAMIS)

KENYATAAN MEDIA
YB. DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA

 

PERKEMBANGAN INISIATIF MALAYSIA’S DIPLOMATIC EQUIPMENT STOCKPILE

KUALA LUMPUR, 9 APRIL 2020 (KHAMIS)

Pada 30 Mac 2020, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) telah mewujudkan inisiatif baharu yang dinamakan Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES). Inisiatif ini diwujudkan bertujuan membuka peluang kepada semua pihak termasuk individu, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyumbang pelbagai bentuk bantuan bagi kegunaan Wisma Putra khususnya sepanjang krisis Covid-19 ini. Bantuan-bantuan ini termasuklah peralatan perubatan, kewangan serta lain-lain bantuan yang bersesuaian.

 

Antara objektif utama pelaksanaan MDES ialah:

  1. Membekalkan peralatan perubatan yang mencukupi kepada petugas barisan hadapan (frontliners) Wisma Putra di dalam negara serta di
    Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara. Ia penting bagi mengelakkan mereka dijangkiti Covid-19 sewaktu bertugas terutama dalam usaha membantu memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran penutupan ruang udara dan sekatan perjalanan oleh Kerajaan di sana.

  2. Memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara menerima bantuan konsular dan kebajikan yang sebaiknya daripada Perwakilan-perwakilan Malaysia. Ini termasuklah makanan dan barangan keperluan asas yang mencukupi.

 

MDES juga diwujudkan kerana Wisma Putra tidak mahu menambah beban Kerajaan untuk mendapatkan kelengkapan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diberikan kepada frontliners Wisma Putra. Ini kerana, Wisma Putra faham bahawa frontliners Covid-19 di Malaysia khususnya petugas kesihatan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih memerlukan serta perlu diberi keutamaan.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, antara pihak terawal yang menyumbangkan bantuan kepada Wisma Putra melalui MDES ialah Kerajaan China yang menyumbangkan 10,000 face masks pada 30 Mac 2020. Wisma Putra telah mula mengagihkan dan menghantar face masks ini kepada Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara secara berperingkat sejak 2 April 2020.

Selain itu, sebuah syarikat di Jepun iaitu Jounan Shoji Co. Ltd serta Japan Graduates’ Association Of Malaysia (JAGAM Tokyo Chapter) turut menyumbangkan sejumlah face masks khusus untuk warga Wisma Putra yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tokyo pada 2 April 2020.

Susulan daripada itu, hari ini sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa banyak lagi pihak termasuk individu tampil menyumbangkan bantuan kepada Wisma Putra melalui MDES. Sebahagiannya menyumbangkan peralatan perubatan iaitu:

  1. Perfect China Co. Ltd – 300,000 face masks

  2. The Weststar Group – 30,000 face masks

  3. China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd – 8,000 face masks

  4. Malaysia-Myanmar Business Commerce – 7,500 face masks

 

Manakala, sebahagian lagi menyumbangkan bantuan kewangan iaitu :

  1. Anonymous – RM150,000

  2. Roadcare (M) Sdn. Bhd. – RM50,000

  3. Tan Sri Francis Lau Tuang Guang – RM50,000

 

Secara keseluruhannya, setakat hari ini Wisma Putra melalui MDES telah menerima sumbangan peralatan perubatan lebih 355,500 face masks dan sumbangan kewangan berjumlah RM250,000.

Selain peralatan perubatan serta wang ringgit, banyak pihak turut memberi kata-kata semangat, ucapan penghargaan dan ungkapan terima kasih kepada frontliners Wisma Putra. Saya percaya, sumbangan dan sokongan melalui pelbagai cara ini berupaya mengukuhkan lagi tekad frontliners Wisma Putra untuk terus melakukan yang terbaik khususnya demi membantu rakyat kita yang masih terkandas di luar negara.

Bagi pihak Wisma Putra, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak sama ada yang menyumbang bantuan kepada Wisma Putra melalui MDES mahupun yang memberi kata-kata semangat kepada frontliners Wisma Putra. Pada masa yang sama, saya sekali lagi mengalu-alukan semua pihak di luar sana untuk turut menyumbang bantuan melalui MDES serta menzahirkan penghargaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada frontliners Wisma Putra.

Marilah kita sama-sama doakan, semoga usaha Wisma Putra melalui MDES ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Dan semoga krisis Covid-19 yang melanda dunia ketika ini segera berakhir. Amin Ya Rabbal Alamin.

 

=tamat=