Speeches & Statements Speeches & Statements

Back

KENYATAAN MEDIA YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI LUAR NEGERI SUMBANGAN PERALATAN PERUBATAN DARIPADA KERAJAAN EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE) SERTA PERKEMBANGAN INISIATIF MALAYSIA’S DIPLOMATIC EQUIPMENT STOCKPILE (MDES) KUALA LUMPUR, 12 MEI 2020 (SELASA)

KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI LUAR NEGERI
 

SUMBANGAN PERALATAN PERUBATAN DARIPADA KERAJAAN EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE) SERTA PERKEMBANGAN INISIATIF MALAYSIA’S DIPLOMATIC EQUIPMENT STOCKPILE (MDES)
 

KUALA LUMPUR, 12 MEI 2020 (SELASA)

 

  1. SUMBANGAN PERALATAN PERUBATAN DARIPADA KERAJAAN UAE MELALUI INISIATIF MDES.

Hari ini saya menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra). Kerajaan UAE diwakili oleh Duta UAE ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT), Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith manakala Wisma Putra diwakili oleh Ketua Setiausaha, Dato’ Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Sebahagian peralatan perubatan yang disumbangkan oleh Kerajaan UAE ini dikhususkan bagi menjayakan inisiatif Wisma Putra, Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES). Ia terdiri daripada 14,000 unit hand sanitizer (lebih kurang 7 tan) yang mana kesemuanya akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) Covid-19 Wisma Putra di dalam negara serta di Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara.

 

  1. SUMBANGAN PERALATAN PERUBATAN DARIPADA KERAJAAN UAE KEPADA KERAJAAN MALAYSIA KHUSUSNYA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA.

Dalam pada itu, selain menyumbangkan peralatan perubatan melalui MDES, Kerajaan UAE turut bermurah hati menyumbangkan pelbagai lagi bentuk peralatan perubatan kepada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Wisma Putra. Ini termasuklah Test Kits For Antigen yang telah diterima pada 30 Mac lalu.

Selain itu, Malaysia turut menerima peralatan tambahan dari Kerajaan UAE pada 27 April lalu iaitu:

  1. 20,000 unit RT PCR Test Kits
  2. 37,000 unit IgC IgM Test Kits
  3. 20,000 unit Viral Transport Medium Swab
  4. 1 unit Automated Extraction Machine.

Kesemua peralatan tambahan ini telah diserahkan kepada KKM.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Yang Mulia Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan serta kepimpinan tertinggi Kerajaan UAE. Sesungguhnya, sumbangan ini membuktikan keakraban hubungan dua hala Malaysia-UAE yang telah terjalin sekian lama.

Kerjasama dengan UAE hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi bentuk kerjasama yang dijalinkan Malaysia dengan rakan negara di seluruh dunia bagi menangani cabaran krisis Covid-19. Ia bukan sahaja bertujuan memudahcara urusan rakyat kita yang terkandas di luar negara, tetapi juga bagi mendapatkan ubat untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak ini.

 

  1. PERKEMBANGAN TERKINI INISIATIF MDES

Saya amat gembira dan bersyukur, sejak dilancarkan 30 Mac lalu, inisiatif ini telah mendapat sambutan serta penerimaan yang amat baik seperti yang dapat dilihat khususnya di laman sosial Wisma Putra yang mana frontliners Covid-19 Wisma Putra termasuk di Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara telah berkongsi peralatan perubatan yang telah mereka terima hasil inisiatif ini.

Secara keseluruhannya, MDES bukan sahaja menerima pelbagai bentuk sumbangan daripada individu, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Terima kasih kepada semua pihak sama ada yang menyumbang bantuan kepada Wisma Putra melalui MDES mahupun yang memberi kata-kata semangat kepada frontliners Wisma Putra. Sekali lagi saya mengalu-alukan semua pihak di luar sana untuk turut menyumbang melalui MDES serta menzahirkan penghargaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada frontliners Covid-19 Wisma Putra.

 

=tamat=