Speeches & Statements Speeches & Statements

Back

KENYATAAN MEDIA YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI LUAR NEGERI USAHA-USAHA WISMA PUTRA BERKAITAN COVID-19 KUALA LUMPUR, 24 MAC 2020 (SELASA)

KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI LUAR NEGERI


USAHA-USAHA WISMA PUTRA BERKAITAN COVID-19

KUALA LUMPUR, 24 MAC 2020 (SELASA)

 

Rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,
 

Saya ingin menjelaskan dua peranan utama Wisma Putra dalam membantu Kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 di negara kita. Pertama, untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara disebabkan sekatan perjalanan dan pergantungan penerbangan. Untuk menjayakan usaha ini, Wisma Putra akan fokus kepada isu logistik dan rundingan dengan Kerajaan negara di sana. Kedua, menggunakan hubungan baik Malaysia dengan Kerajaan-kerajaan di luar negara bagi mendapatkan bantuan pakar serta peralatan perubatan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
 

Menyentuh berkenaan peranan pertama Wisma Putra, setakat ini kami bangga kerana hasil usaha ini, seramai lebih 1,000 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Uzbekistan, Mesir, Maldives, Nigeria, Thailand, Jepun, Kemboja dan banyak lagi negara telah berjaya pulang ke tanah air. Malah, Wisma Putra juga setakat pagi ini telah berjaya membawa pulang seramai 696 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India termasuk menerusi kerjasama dengan parti Malaysian Indian Congress (MIC) dan Air Asia. InsyaAllah, ramai lagi akan dibawa pulang dari India dalam waktu terdekat.
 

Berkenaan Iran - Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan bantuan Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah berjaya membawa pulang seramai 46 orang rakyat Malaysia dari Iran.
 

Berkenaan Itali - MKN, Wisma Putra, NADMA dan Perwakilan Malaysia di Itali sedang berunding dengan Kerajaan Itali bagi memberi kebenaran mendarat khas kepada pesawat kita seterusnya membolehkan urusan repatriasi dari Itali segera dilaksanakan.

 

  1. STATUS TERKINI RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI BANGLADESH

Berkenaan Bangladesh - Wisma Putra melalui Perwakilan Malaysia di Bangladesh juga sedang membuat persiapan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana susulan keputusan Kerajaan Bangladesh berkaitan penularan wabak Covid-19.
 

Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 367 orang rakyat Malaysia direkodkan berada di Bangladesh. Jumlah ini termasuk 219 orang pelajar yang menuntut di Bangladesh; 55 orang kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar; 73 orang yang menetap dan bekerja di Bangladesh termasuk ahli keluarga mereka; dan 20 orang penjawat awam serta ahli keluarga penjawat awam yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh. Daripada jumlah ini, seramai 270 orang telah bersetuju dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat. Walaubagaimanapun, Kerajaan telah meminta 7 orang penjawat awam untuk kekal bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh. Bagi pihak Kerajaan, saya amat menghormati dan berterima kasih kerana mereka sanggup kekal di sana demi tugasan kepada negara.
 

Kesemua mereka akan dibawa pulang menggunakan sebuah pesawat sewa khas jenis Airbus 332 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines. Buat masa ini, Kerajaan Bangladesh telah menyuarakan jaminan akan memberi kebenaran khas kepada pesawat ini untuk mendarat serta berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.
 

Sementara itu, selepas membiayai sepenuhnya kos keseluruhan 6 penerbangan sewa khas untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India, hari ini sukacitanya saya mengumumkan bahawa kos penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh ini sekali lagi akan dibiayai sepenuhnya oleh parti MIC.
 

Saya amat berterima kasih kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan parti MIC kerana tampil ke hadapan dan sanggup membantu Wisma Putra memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara. Sesungguhnya, kami di Wisma Putra amat menghargai kerjasama ini. Terima kasih juga kepada Malaysia Airlines.
 

Saya ingin menegaskan, Wisma Putra akan berkomunikasi seperti biasa dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membincangkan prosedur kuarantin sebaik sahaja mereka sampai di Malaysia.

 

B. SEMUA RAKYAT MALAYSIA TERKANDAS DI LUAR NEGARA DIJAGA SEBAIKNYA OLEH WISMA PUTRA

Wisma Putra sedia maklum bahawa masih ada rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara susulan keputusan Kerajaan di sana berkaitan Covid-19. Justeru, Wisma Putra dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di luar negara, MKN dan NADMA akan terus menghulurkan bantuan konsular sewajarnya demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas ini dijaga rapi.
 

Saya faham, mereka amat kepenatan dan mahu pulang ke tanah air secepat mungkin. Oleh sebab itu, kami di Wisma Putra sedang meneliti setiap ruang dan peluang yang mampu mempercepatkan urusan kepulangan semua rakyat Malaysia yang terkandas. Saya janji kita akan lakukan apa sahaja yang terdaya. Wisma Putra juga sentiasa menyalurkan maklumat dari Perwakilan Malaysia di luar negara kepada MKN bagi membolehkan rakyat Malaysia yang terkandas di negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 diberikan keutamaan.

 

  1. HUBUNGAN AKRAB MALAYSIA DENGAN CHINA DAN UAE BAWA MANFAAT TERHADAP USAHA KITA TANGANI WABAK COVID-19

Menyentuh semula peranan kedua Wisma Putra yang saya nyatakan di awal tadi, iaitu untuk menggunakan hubungan baik Malaysia dengan Kerajaan-kerajaan di luar negara bagi mendapatkan bantuan pakar dan peralatan perubatan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita. Berikut antara usaha yang sedang kita laksanakan.
 

Melalui hubungan Malaysia-China - Wisma Putra termasuk saya sendiri telah mula berbincang dengan Kerajaan China bagi memohon bantuan untuk menghantar pakar khususnya dalam bidang perubatan ke Malaysia dengan segera. Langkah ini bertujuan membantu petugas barisan hadapan kita perangi wabak ini habis-habisan. Susulan perbincangan ini, saya difahamkan pakar perubatan dari 26 buah hospital di Malaysia akan mengadakan video conference dengan pakar-pakar perubatan yang berada di China pada Khamis ini (26 Mac 2020) bagi berkongsi kaedah serta strategi terbaik dalam melawan Covid-19.
 

Melalui hubungan Malaysia-Emiriyah Arab Bersatu (UAE), saya juga ingin memaklumkan, sewaktu menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pagi tadi, saya telah kongsikan kepada mereka, menerusi hubungan akrab Malaysia-UAE, Wisma Putra sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan peralatan perubatan daripada Kerajaan UAE dalam masa terdekat. Sebarang perkembangan terbaru berhubung perkara ini akan Wisma Putra maklumkan dari masa ke masa.

 

=tamat=