Speeches & Statements Speeches & Statements

Back

TEKS UCAPAN YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI PERKEMBANGAN TERKINI BERKAITAN RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA EKORAN PEMBATALAN DAN SEKATAN PENERBANGAN OLEH BEBERAPA NEGARA BERIKUTAN PENULARAN PANDEMIK COVID-19

TEKS UCAPAN
YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

 

PERKEMBANGAN TERKINI BERKAITAN RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA EKORAN PEMBATALAN DAN SEKATAN PENERBANGAN OLEH BEBERAPA NEGARA BERIKUTAN PENULARAN PANDEMIK COVID-19

 

  1. Assalamualaikum dan salam sejahtera tuan puan yang saya hormati sekalian.
     
  2. Untuk makluman, Wisma Putra dengan kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan Malaysia dan semua Perwakilan Malaysia di luar negara terus giat melaksanakan usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas. Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa definisi ‘terkandas’ bermaksud warganegara Malaysia yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab seperti itu dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia, disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
     
  3. Terkini, setakat 31 Mac 2020, saya ingin memaklumkan bahawa seramai 3,201 orang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara telah berjaya dibawa pulang melalui misi repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan, sumbangan parti politik seperti Malaysian Indian Congress (MIC) dan pihak swasta seperti T7 Global Berhad dan Weststar Aviation Services.
     
  4. Manakala, terdapat seramai 4,374 orang rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 56 buah negara. Paling ramai ialah di India membabitkan seramai 2,156 orang. Jumlah mereka yang terkandas di India ini dijangka berkurang apabila lebih ramai dapat dibawa pulang menggunakan 11 lagi penerbangan sewa khas.
     
  5. Saya ingin melaporkan bahawa seramai 179 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Amritsar, India telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin, 30 Mac 2020 jam 10.50 malam.
     
  6. Saya juga ingin memaklumkan khabar gembira berkenaan 144 warganegara Malaysia yang telah pun tiba pada petang tadi, melalui pesawat khas Malaysia Airlines MH 741. Meskipun Kerajaan Myanmar secara amnya telah membatalkan semua kemasukan penerbangan komersial ke negara tersebut berkuat kuasa 30 Mac 2020, Kedutaan Malaysia di Yangon dengan kerjasama Malaysia Airlines telah berkolaborasi dengan Kerajaan Myanmar untuk memberi kebenaran khas penerbangan pesawat dari Malaysia ini. Kedutaan kita di Yangon akan terus komited dan bekerja keras bagi memastikan kebenaran khas yang sama dapat diberikan pada masa akan datang bagi memastikan warganegara Malaysia di Myanmar dapat pulang ke Malaysia dengan segera.
     
  7. Lain-lain negara yang turut merekodkan jumlah rakyat Malaysia terkandas yang agak tinggi ialah - Indonesia (680 orang), Australia (226 orang), New Zealand (153 orang), Thailand (337 orang), Arab Saudi (121 orang), Pakistan (128 orang), Filipina (54 orang), Sri Lanka (50 orang) dan Emiriah Arab Bersatu (43 orang).
     
  8. Saya ingin menasihatkan rakyat Malaysia di luar negara yang sememangnya berhasrat untuk pulang supaya menguruskan penerbangan komersial secepat mungkin sebelum syarikat-syarikat penerbangan menggantung operasi mereka atau penggantungan penerbangan dikuatkuasakan Kerajaan di sana.
     
  9. Dalam pada itu, menyentuh mengenai laporan di sebuah portal berita mengenai 18 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Bolivia, saya ingin memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan serentak ke Bolivia telah berhubung dengan kumpulan rakyat Malaysia tersebut dan telah memberi bantuan konsular sewajarnya. Memandangkan Kerajaan Bolivia telah mengisytiharkan lockdown dan menangguhkan sebilangan besar penerbangan, pihak Kedutaan kita sedang meneliti alternatif bagi membantu 18 orang rakyat Malaysia yang terkandas ini.
     
  10. Sementara itu, merujuk kepada isu melibatkan pelajar Malaysia di luar negara, Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa berhubung dengan Education Malaysia (EM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta wakil-wakil komuniti pelajar Malaysia di luar negara bagi mendapatkan perkembangan terbaru seterusnya memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan para pelajar yang terkandas ini diberi perhatian sewajarnya.
     
  11. Buat masa ini, pihak JPA menerusi satu kenyataan pada 29 Mac 2020, telah memaklumkan bahawa kesemua pelajar tajaan JPA di luar negara, dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing. Para pelajar juga diingatkan supaya bertenang, tidak panik, menjaga kesihatan diri dan mematuhi segala arahan universiti, pihak berkuasa tempatan serta berhubung rapat dengan kedutaan Malaysia.
     
  12. Begitu juga dengan MARA; menerusi satu kenyataan pada 28 Mac 2020, pihak MARA telah memaklumkan, bagi negara-negara yang tidak menyarankan pelajar asing untuk pulang ke negara masing-masing; MARA meminta supaya pelajar mereka terus kekal di negara pengajian. Pertimbangan ini dibuat selepas menilai risiko semasa pergerakan dan penerbangan serta menilai isu-isu logistik berkaitan secara mendalam.
     
  13. Manakala, menerusi satu kenyataan daripada pihak Universiti Sains Malaysia pada 25 Mac 2020, para pelajar yang menuntut di USM-KLE International Medical Programme, Belgaum, India juga disarankan untuk kekal di kampus. Pihak USM-KLE serta Perwakilan Malaysia di sana telah dan akan terus menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada para pelajar. Keselamatan dan kesihatan mereka turut diberi keutamaan sepanjang tempoh yang sukar ini. Malah, pihak USM-KLE juga sentiasa berhubung dengan ibu bapa pelajar bagi memaklumkan perkembangan semasa anak masing-masing.
     
  14. Saya ambil maklum bahawa terdapat laporan yang mendakwa kononnya pihak Wisma Putra menyerahkan sepenuhnya kepada pihak lain untuk membantu memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara. Ingin saya tegaskan bahawa sokongan yang diterima adalah menerusi pembiayaan kos penerbangan sahaja. Manakala, rundingan dengan Kerajaan asing sentiasa dilakukan oleh pihak Wisma Putra secara rasmi melalui saluran diplomatik.
     
  15. Jadi, saya ingin menegaskan sekali lagi, sesungguhnya usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas ini merentasi politik. Ini bermakna, semua pihak digalakkan untuk membantu Kerajaan Malaysia. Di waktu yang sukar ini, seharusnya semua pihak saling berganding bahu dan bekerjasama.
     
  16. Usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas adalah antara peranan utama Wisma Putra. Jadi Wisma Putra akan terus memainkan peranan ini dengan sebaik mungkin walau apa jua cabaran yang terpaksa dilalui. Namun, sekiranya ada pihak yang ingin membantu, Wisma Putra amat mengalu-alukannya.
     
  17. Misalnya seperti Dato’ S. Prakadeesh Kumar, CEO of Plus Max Group yang telah menyatakan kesediaan untuk membiayai kos penerbangan sewa khas bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Nepal.
     
  18. Begitu juga dengan Malaysia Airlines. Semalam, mereka telah umumkan untuk menyambung semula beberapa penerbangan antarabangsa antara April dan Mei 2020, bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara. Usaha sama seperti inilah yang seharusnya dijadikan contoh oleh semua pihak.
     
  19. Yang terakhirnya, seperti yang telah dimaklumkan YB Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein di laman Facebook beliau sebentar tadi, Wisma Putra telah melaksanakan satu inisiatif baharu yang dinamakan Malaysia's Diplomatic Equipment Stockpile (MDES). MDES merupakan inisiatif kebajikan yang memberi peluang kepada semua pihak termasuk individu, syarikat korporat, NGO, parti politik serta Kerajaan untuk menyumbang peralatan perubatan bagi kegunaan frontliners Covid-19 Wisma Putra. Bahasa mudahnya, MDES ialah tabung peralatan perubatan yang berkonsep sukarela - siapa mahu, boleh menyumbang. Untuk makluman semua, Kerajaan China adalah penyumbang pertama dengan sumbangan sebanyak 10,000 face masks kepada MDES. Wisma Putra berharap agar ramai lagi akan menyumbang kepada inisiatif ini.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19
KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

31 Mac 2020 @ 1500 HRS