Speeches & Statements Speeches & Statements

Back

TEKS UCAPAN YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI PERKEMBANGAN TERKINI PROSES REPATRIASI RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA, MESIR DAN MALDIVES

TEKS UCAPAN
YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

 

PERKEMBANGAN TERKINI PROSES REPATRIASI RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA, MESIR DAN MALDIVES

 

  1. Sehingga hari ini, Sabtu, 28 Mac 2020, jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara kian meningkat iaitu kepada 3,616 di 58 buah negara. Jumlah ini semakin meningkat dari hari ke hari memandangkan kebanyakan negara terus melaksanakan kawalan sempadan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, temasuk pembatalan penerbangan antarabangsa menggunakan pesawat komersial.
     
  2. Ingin saya tekankan sekali lagi di sini bahawa terkandas itu bermaksud warganegara Malaysia yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab seperti itu dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19
     
  3. Dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia ini dan seperti yang saya umumkan semalam, seramai 51 orang akan menaiki pesawat sewaan khas Kerajaan Brunei dari Kaherah, Mesir dan Kerajaan Malaysia telah memuktamadkan untuk membawa mereka pulang setibanya di Brunei pada hari Ahad, 29 Mac 2020.
     
  4. Namun demikian, Kerajaan Brunei terus bermurah hati untuk menambah bilangan rakyat Malaysia yang akan diterbangkan pulang dari Kaherah, dengan jumlah terkini seramai 86 orang.
     
  5. Kesemua mereka akan dibawa pulang pada hari yang sama dengan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Ahad, 29 Mac 2020 jam 11.25 pagi.
     
  6. Dengan mengambil kira hubungan dua hala yang istimewa di antara Malaysia dan Brunei, Kerajaan juga bersetuju untuk membawa pulang 142 warganegara Brunei yang terkandas di Malaysia dengan menaiki pesawat khas yang sama.
     
  7. Sekali lagi Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Brunei di atas keprihatinan dan kesudian untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di Kaherah.
     
  8. Dalam perkembangan yang lain, satu lagi khabar gembira yang ingin saya kongsikan ialah usaha repatriasi seramai 18 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Maldives, di mana InsyaAllah mereka akan dibawa pulang ke Malaysia melalui usaha sama dengan pihak syarikat Weststar Aviation. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Weststar Aviation di atas kesudian untuk membantu kepulangan kumpulan rakyat Malaysia ini, di mana kos penerbangan ini dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tersebut.
     
  9. Wisma Putra terus prihatin di atas kesulitan yang dihadapi oleh warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara akibat penutupan sempadan negara luar serta pembatalan penerbangan komersial.
     
  10. Saya ingin berkongsi dengan rakyat Malaysia mengenai perkembangan terbaru usaha-usaha yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia. Sehingga hari ini, jumlah tertinggi warganegara Malaysia yang masih terkandas di luar negara adalah di India sebanyak 1,988 orang, dengan pecahan sejumlah 916 orang di Chennai, 523 orang di Trichy, 328 orang di New Delhi, 173 orang di Amritsar dan 48 orang di Mumbai.
     
  1. Dalam mencari penyelesaian ke atas permasalahan warganegara Malaysia yang terkandas di India ini, sukacita saya maklumkan bahawa Malaysian Indian Congress (MIC) telah sekali lagi bersetuju untuk membiayai sebanyak 12 penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di New Delhi, Chennai, Mumbai, Trichy dan Amritsar.
     
  2. Kerajaan Malaysia mengucapkan penghargaan atas persetujuan pihak MIC dalam memudahcara urusan membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara, termasuk di India dan Bangladesh baru-baru ini. Kita berharap agar kerjasama erat seperti ini dapat diteruskan dalam memastikan warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara selamat dibawa pulang ke tanah air.
     
  3. Proses repatriasi tersebut dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat, selepas dimuktamadkan semua urusan berkaitan tempahan dan kelulusan untuk mendarat.
     
  4. Saya berharap agar rakyat Malaysia sentiasa tenang, patuh kepada arahan kerajaan tempatan dan berhubung dengan Perwakilan-Perwakilan Malaysia di sana.
     
  5. Dalam masa yang sama, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara serta Kedutaan asing di Malaysia yang terlibat secara langsung dalam memastikan proses repatriasi dari luar negara dan keluar dari Malaysia berjalan dengan lancar.
     
  6. Dengan kerjasama Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara, Wisma Putra akan berusaha untuk mencari alternatif yang terbaik bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara.
     
  7. Bersama saya pada hari ini ialah YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia merangkap Timbalan Presiden MIC yang menjadi pertubuhan utama menggerakkan usaha menmbiayai kos untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara.
     
  8. Sebelum ini, MIC telah menanggung sebanyak tujuh (7) penerbangan bagi membantu membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di India dan Bangladesh, dan kini bersetuju untuk membiayai 12 lagi penerbangan sewaan khas untuk ke India bagi tujuan yang sama. MIC juga dalam perancangan untuk membiayai penerbangan ke Kathmandu dalam masa terdekat bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana.
     
  9. Dengan ini saya ingin mempersilakan YB Datuk Seri M. Saravanan untuk menyampaikan sepatah dua kata.
     
  10. Akhir kata, saya ingin merakamkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan usaha-usaha yang kita lakukan setakat ini telah berjaya membawa pulang ramai rakyat Malaysia dan kita sentiasa berdoa agar diberikan kemudahan dalam melaksanakan segala urusan dan di akhiri dengan kejayaan.
     

Sekian, terima kasih.

 

YB DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19
KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

28 Mac 2020 @ 1330 hrs.