Speeches & Statements Speeches & Statements

Back

TEKS UCAPAN YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI PERKEMBANGAN TERKINI PROSES REPATRIASI RAKYAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA

TEKS UCAPAN
YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

 

PERKEMBANGAN TERKINI PROSES REPATRIASI RAKYAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA

 

Asssalamualaikum dan salam sejahtera tuan puan yang saya hormati sekalian.

  1. Untuk makluman pihak tuan puan sekalian, setakat ini seramai 2,982 warganegara Malaysia sedang terkandas di 55 buah negara akibat pembatalan penerbangan serta sekatan perjalanan yang dilaksanakan oleh negara-negara asing susulan penularan pandemik COVID-19.
     
  2. Sehingga hari ini, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membantu membawa pulang seramai 2,417 orang warganegara Malaysia ke tanah air dari 26 buah negara. Ini termasuk dua (2) penerbangan yang telah tiba pada hari ini iaitu dari Bangladesh dan Itali yang membawa pulang seramai 306 warganegara Malaysia.
     
  3. Kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia setakat ini adalah hasil kerjasama Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara dengan agensi-agensi terlibat termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan syarikat penerbangan Malaysia Airlines serta Air Asia.
     
  4. Tidak ketinggalan, pihak Kongres India Malaysia (MIC) telah berbesar hati membiayai kos penerbangan pulang dari India dan Bangladesh, serta syarikat T7 Global Berhad yang membiayai kos penerbangan pulang rakyat Malaysia dari Kemboja.
     
  5. Saya juga ingin menyentuh mengenai beberapa laporan dan kenyataan beberapa pihak yang mempertikai usaha Kerajaan di dalam membantu rakyat Malaysia yang sedang terkandas di luar negara.
     
  6. Untuk makluman tuan puan, khususnya di India, Kerajaan telah berjaya membawa pulang seramai 1,257 orang rakyat Malaysia dengan kerjasama di antara Wisma Putra dengan MIC dan penerbangan komersial lain.
     
  7. Mengikut rekod pendaftaran, setakat ini, seramai lebih kurang 1,700 orang rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa buah wilayah di India seperti di New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy. Walau bagaimanapun, jumlah ini mungkin akan meningkat daripada jumlah awal yang telah melaporkan diri dengan Perwakilan Malaysia di India.
     
  8. Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan sedia maklum dan amat prihatin akan situasi rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara, termasuk di India. Wisma Putra ingin menegaskan bahawa tiada diskriminasi atau pilih kasih dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.
     
  9. Ingin saya tekankan di sini bahawa terkandas dalam konteks ini bermaksud warganegara Malaysia yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab seperti itu dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
     
  10. Wisma Putra telah mula membuka peluang kepada lebih banyak syarikat persendirian dan pertubuhan untuk tampil membantu seperti yang dilakukan oleh syarikat T7 Global Berhad dan Malaysian Indian Congress (MIC) baru-baru ini.
     
  11. Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akan diabaikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan mereka. Kementerian akan terus komited di dalam menghulurkan bantuan yang sewajarnya.
     
  12. Dalam situasi yang mencabar ini, Wisma Putra mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan dalam usaha Kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.
     
  13. Yang penting, saya ingin mengulangi seruan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara termasuk yang berada di India supaya bertenang, mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan negera tuan rumah dan memastikan bahawa anda telah berdaftar dengan Perwakilan kita di sana. Ini bagi memudahkan urusan pihak Perwakilan dalam mengkoordinasi langkah-langkah seterusnya.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19
KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

26 Mac 2020 @ 1630 hrs.