Speeches & Statements Speeches & Statements

Back

TEKS UCAPAN YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI PERKEMBANGAN TERKINI RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA SUSULAN PENULARAN PANDEMIK COVID-19

 

TEKS UCAPAN YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PERKEMBANGAN TERKINI RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA SUSULAN PENULARAN PANDEMIK COVID-19

 

  1. Assalamualaikum dan salam sejahtera tuan-tuan dan puan-puan, rakan-rakan media yang saya kasihi sekalian. Hari ini saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan terhadap perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.
     
  2. Sebelum itu, suka untuk saya peringatkan kembali dua peranan utama Wisma Putra dalam membantu Kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 di negara kita. Pertama, untuk membantu memudahcara urusan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara disebabkan sekatan perjalanan dan pergantungan penerbangan. Untuk menjayakan usaha ini, Wisma Putra akan fokus kepada isu logistik dan rundingan dengan Kerajaan negara-negara di sana. Kedua, menggunakan hubungan baik Malaysia dengan Kerajaan-kerajaan di luar negara bagi mendapatkan bantuan pakar serta peralatan perubatan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
     
  3. Menyentuh berkenaan peranan pertama Wisma Putra, setakat ini kami bersyukur kerana hasil usaha ini, sehingga 6 Mei 2020 Kementerian Luar Negeri telah memudahcara kepulangan seramai 14,015 orang rakyat Malaysia dari 70 buah negara.
     
  4. Manakala, sehingga hari ini, terdapat 664 Malaysia yang masih terkandas di luar negara, di mana jumlah ini termasuk Jemaah Tabligh yang sedang ditahan dan dikuarantin di India.

 

PERKEMBANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DI INDIA

 

  1. Berhubung isu Jemaah Tabligh rakyat Malaysia di India, seramai 190 orang, masing-masing seramai 158 orang di New Delhi, 23 orang di Chennai dan 9 orang di Mumbai, masih berada di pusat-pusat kuarantin dan tahanan sementara yang disediakan. Daripada jumlah tersebut, seramai 55 orang telah dikenakan tuduhan menyalahgunakan visa lawatan oleh pihak berkuasa India.
     
  2. Kementerian ini melalui Perwakilan-perwakilan Malaysia di India masih menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada semua Jemaah Tabligh yang terlibat dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara. Ini termasuk pemberian bantuan dari segi makanan, ubat-ubatan dan barangan asas harian. Selain itu, saya juga telah mengarahkan Perwakilan-perwakilan Malaysia di India untuk menyelaras usaha bagi membolehkan mereka ini mendapat khidmat guaman. Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga sedang mengusahakan urusan keluar Jemaah Tabligh yang masih berada di pusat-pusat kuarantin. Usaha ini penting untuk membolehkan urusan membawa mereka pulang ke Malaysia berjalan lancar.
     
  3. Saya memohon agar ahli keluarga serta waris dapat bersabar dan sama-sama kita berdoa agar urusan membawa pulang mereka yang ditahan ini membuahkan hasil secepat yang mungkin.


SITUASI RAKYAT DAN PELAJAR MALAYSIA DI LUAR NEGARA
 

  1. Kementerian Luar Negeri sentiasa prihatin terhadap keadaan rakyat Malaysia, termasuk pelajar Malaysia di luar negara. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan termasuk menyampaikan bantuan konsular sewajarnya dan juga, sekiranya terdapat keadaan memerlukan, memudahkan proses repatriasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas akibat penularan pandemik Covid-19 ke tanah air.
     
  2. Saya menyeru agar rakyat-rakyat Malaysia di luar negara, termasuk pelajar, untuk terus berkomunikasi dengan pejabat-pejabat Kedutaan Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha-usaha yang akan dijalankan oleh Kerajaan Malaysia, di samping melaporkan keadaan kesihatan, keselamatan dan persekitaran khususnya di kawasan penginapan/hostel mereka, agar bantuan sewajarnya dapat dihulurkan.
     
  3. Bagi usaha terkini dalam memudahcara urusan pulang rakyat Malaysia ke tanah air, Kementerian Luar Negeri sedang mengusahakan proses tersebut dan juga sedang memantau rapat perkembangan dan situasi rakyat Malaysia termasuk para pelajar, yang terkesan akibat daripada pembatalan operasi penerbangan komersial selain penutupan lapangan terbang dan sekatan yang dikuatkuasa oleh negara-negara luar.
     
  4. Berkenaan pelajar di Rusia, seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, adalah lebih baik para pelajar Malaysia kekal di negara yang sedang didiami. Wisma Putra turut menyarankan supaya para pelajar di luar negara mematuhi nasihat ini.
     
  5. Di Rusia, bagi tempoh 28 Mac hingga 12 Mei 2020, Kerajaan Rusia telah melaksanakan arahan kawalan pergerakan yang merangkumi langkah-langkah bertujuan mengekang penyebaran virus COVID-19. Secara ringkasnya, antara implikasi utama arahan tersebut ke atas semua warganegara dan pemastautin di Rusia termasuk pelajar dan rakyat Malaysia di sini adalah termasuk larangan keluar rumah (kecuali atas sebab yang dibenarkan) dan juga peralihan mod pembelajaran dari sistem kelas/kuliah ke sistem pengajian jarak jauh/atas talian.
     
  6. Di  sini saya  ingin  menyatakan  bahawa  Kementerian Luar Negeri menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Rusia amat mengambil berat dan telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi membantu rakyat serta pelajar Malaysia di Rusia. Ini termasuklah -

 

  1. Mengaktifkan pasukan petugas khas COVID-19 di peringkat Kedutaan; membantu rakyat Malaysia meninggalkan Rusia sebelum penutupan sempadan dan pembatalan penerbangan komersial, dengan kumpulan terakhir berjaya terbang keluar pada 31 Mac 2020;
     
  2. Mengaktifkan jaringan perhubungan dengan semua komuniti rakyat Malaysia di Rusia, termasuk komuniti pelajar di Moscow, Crimea, Kazan, Kamchatka, Kursk, Nizhnevartovsk, Nizhny Novgorod, Sabetta, Sakhalin, St. Petersburg, Tomsk, Volgograd, dan lain-lain lokasi serata Rusia;
     
  3. Membuat hebahan mengenai isu dan perkara penting yang wajar di beri perhatian oleh semua warga Malaysia di Rusia semasa tempoh kawalan pergerakan;
     
  4. Mengadakan sesi outreach dan perbincangan secara berkala dengan pelajar dan wakil pelajar Malaysia di seluruh Rusia;
     
  5. Bekerjasama dengan badan dan wakil pelajar untuk membuat pembelian dan pengedaran topeng muka, hand sanitiser dan sarung tangan kepada kumpulan pelajar yang memerlukan;
     
  6. Sentiasa memantau situasi pandemik COVID-19 di Rusia, dengan membuat laporan harian kepada ibu pejabat setiap hari;
     
  7. Dalam situasi yang perlu, pihak kedutaan turut berhubung dengan pihak pengurusan universiti/institusi sekiranya terdapat aduan/isu melibatkan pelajar Malaysia; dan
     
  8. Bekerjasama dengan badan pelajar dan juga agensi kerajaan tempatan untuk menyelesaikan masalah visa dan permit residency yang tidak dapat diperbaharui oleh kerana arahan kawalan pergerakan dan sentiasa berhubung rapat dengan sumber-sumber maklumat dan arahan rasmi Kerajaan Rusia termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Agensi Rospotrebnadzor, Agensi Rosselkhoznadzor, Kementerian Pengangkutan, Pejabat Datuk Bandar Moscow serta pejabat organisasi antarabangsa di Moscow termasuk pejabat WHO dan juga dengan pihak Kedutaan lain.

 

  1. Kerajaan tiada halangan sekiranya ada di kalangan warganegara Malaysia bercadang untuk keluar daripada Rusia dengan cara persendirian, contohnya melalui charter flight dengan tanggungan sendiri. Dalam kes sebegini, Wisma Putra akan membantu memudahkan urusan berkenaan termasuk berhubung dengan Kerajaan Rusia.
     
  2. Di masa seluruh dunia dilanda cabaran yang begitu hebat akibat pandemik COVID-19, di mana setiap lapisan masyarakat perlu mengharungi cabaran masing-masing, diharapkan rakyat dan pelajar Malaysia di Rusia dapat bertenang dan rasional serta tidak sekali-kali membuat pertimbangan berlandaskan maklumat di media massa semata-mata.
     
  3. Percayalah, sekiranya situasi bertambah buruk, Kerajaan khususnya Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan memberi jaminan akan segera mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia termasuk pelajar di Rusia.


KERJASAMA MALAYSIA DENGAN UNITED NATIONS HUMANITARIAN RESPONSE DEPOT (UNHRD), WORLD FOOD PROGRAMME (WFP)
 

Rakan media yang saya hormati sekalian,
 

  1. Dalam menangani dan mengekang penularan COVID-19 di peringkat antarabangsa, Kerajaan Malaysia bekerjasama rapat dengan United Nations Humanitarian Response Depot (UNHRD), World Food Programme (WFP) yang beralamat di Subang, Selangor. Penubuhan Depot ini adalah melalui perjanjian antara WFP dengan Kerajaan Malaysia pada tahun 2010. Depot berkenaan yang terletak bersebelahan lapangan terbang TUDM Subang, telah siap dibina pada tahun 2012 merupakan satu-satunya hab yang terletak di Asia Tenggara. Hab tersebut juga merupakan salah satu daripada enam (6) hab di seluruh dunia bagi penyimpanan dan pengedaran barangan bantuan kemanusiaan.
     
  2. Lima (5) hab lain berada di Itali (Brindisi); Ghana (Accra), Panama (Panama City); Sepanyol (Las Palmas); dan Emiriah Arab Bersatu (Dubai).
     
  3. WFP dan World Health Organisation (WHO) telah merangka sebuah pelan kerjasama pada bulan Februari yang lalu untuk menggunakan kepakaran masing-masing bagi meningkatkan kerjasama sedia ada di antara kedua-dua organisasi tersebut bagi menangani pandemik COVID-19 ini.
     
  4. Pelan kerjasama ini juga adalah untuk menyokong pemerkasaan sistem kesihatan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); memastikan semua negara mendapat akses kepada bekalan perubatan kritikal; memastikan negara-negara mundur menerima bantuan berterusan; dan melindungi keselamatan kakitangan WFP dan organisasi kemanusiaan dalam menjalankan operasi kemanusiaan. Rancangan ini adalah selari dengan objektif dan aktiviti di bawah Global Humanitarian Response Plan yang telah dilancarkan oleh PBB pada 25 Mac 2020.
     
  5. Antara rancangan WFP yang akan dijalankan di Malaysia adalah:

 

  1. Penyatuan kargo (Cargo consolidation) untuk kit kebersihan (hygiene kits) yang diimport oleh pihak WFP-UNHRD di Malaysia dan dieksportkan semula sebagai bantuan kepada negara-negara lain. Antara barangan yang diimport dari negara China terutamanya adalah termometer, topeng muka (surgical masks), sarung tangan (gloves), kasut (footwear), cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan Disinfectant Effervescent Tablets. Barangan ini akan dieksport ke Bangladesh, Bhutan, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Republik Korea, Sri Lanka, Thailand dan Timor Leste. Selain daripada barangan ini, pihak WFP juga bercadang untuk menghantar storage units, generators, prefabricated offices dan peralatan lain ke Myanmar dan Bangladesh menerusi pesawat sewaan pada masa terdekat.
     
  2. Penyediaan pesawat bagi melancarkan pergerakan staf WFP dari Myanmar ke negara-negara lain bagi menjalankan kerja-kerja kemanusiaan.

 

  1. Selain itu, UNHRD juga merancang untuk membeli sarung tangan getah dari Malaysia yang dijangka akan dihantar ke negara-negara yang memerlukan di seluruh dunia.
     
  2. Malaysia mengiktiraf dan mengalu-alukan usaha-usaha kemanusiaan oleh pihak WFP-UNHRD serta badan-badan PBB yang lain di Malaysia. Malaysia turut bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu melancarkan kerja-kerja kemanusiaan di bawah PBB bagi menangani wabak COVID-19 ini.

 

PENGHANTARAN SUMBANGAN MALAYSIA KEPADA KERAJAAN PALESTIN DALAM MENANGANI PANDEMIK COVID-19

 

  1. Susulan daripada perbualan telefon antara YAB Perdana Menteri dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada 6 April 2020 yang lalu, Kerajaan Malaysia telah memutuskan agar sumbangan yang diperolehi menerusi kolaborasi antara agensi kerajaan dan NGO iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Pertubuhan Amal THZ akan dihulurkan kepada Kerajaan Palestin bagi membantu menangani pandemik COVID-19 di negara tersebut.
     
  2. Sumbangan yang dihulurkan oleh Kerajaan Malaysia ini akan disalurkan kepada Kerajaan Palestin melalui Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dengan kerjasama Kedutaan Besar Palestin di Amman, Jordan.
     
  1. Menerusi penerbangan ini juga, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India sedang dalam usaha menguruskan persiapan terakhir bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Jordan dan India.
     
  2. Sama-sama kita berdoa agar usaha murni ini serta usaha-usaha lain bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara berjalan lancar dan dipermudahkan oleh Allah SWT.

 

PENGHARGAAN
 

  1. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi merakamkan penghargaan Kementerian Luar Negeri terhadap jentera-jentera Kerajaan Malaysia yang masih lagi bertungkus lumus mengekang penularan pandemik COVID-19 di Malaysia. Penghargaan ini ditujukan khas buat agensi-agensi yang senantiasa bekerjasama erat dengan Kementerian ini iaitu NADMA, Kementerian Kesihatan Malaysia, MKN, Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Imigresen Malaysia.

 

Sekian, terima kasih.
 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19
KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA

6 Mei 2020