Speeches, Statements & International Documents
HASIL LAWATAN RASMI KE REPUBLIK IRAQ 23 HINGGA 25 OGOS 2023 KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI IRAQ AKAN DIBUKA SEMULA, LEMBARAN BAHARU HUBUNGAN MALAYSIA DAN IRAQ
HASIL LAWATAN RASMI KE REPUBLIK IRAQ 23 HINGGA 25 OGOS 2023 KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI IRAQ AKAN DIBUKA SEMULA, LEMBARAN BAHARU HUBUNGAN MALAYSIA DAN IRAQ
Saya selesai melakukan lawatan rasmi ke Republik Iraq yang telah berlangsung dari 23 hingga 25 Ogos 2023.
Lawatan ini bukan sahaja memenuhi jemputan rakan sejawatan saya, Tuan Yang Terutama Dr. Fuad Hussein, Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Antarabangsa merangkap Menteri Luar Negeri Republik Iraq malah membuka lembaran baharu kerjasama antara Malaysia dengan Iraq.
Lawatan ini merupakan lawatan yang amat bersejarah dan bermakna memandangkan ini adalah lawatan pertama di peringkat menteri dari Malaysia ke Republik Iraq selepas lebih dua dekad (kali terakhir adalah pada tahun 2002) semenjak tercetusnya pergolakan politik di Iraq pada tahun 2003.
Dalam lawatan ini, saya telah berkesempatan bertemu dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Kerajaan Iraq. Ini termasuk kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Abdul Latif Rashid, Presiden Iraq; Tuan Yang Terutama Mohammed Shia’ al-Sudani, Perdana Menteri Iraq dan Tuan Yang Terutama Mohammed Al-Halbousi, Speaker Parlimen Iraq serta perbincangan dua hala bersama rakan sejawatan saya, Tuan Yang Terutama Dr. Fuad Hussein.
Lawatan ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan semua negara Islam termasuk Republik Iraq.
Saya juga telah menyampaikan keputusan Kabinet Malaysia untuk mengoperasikan semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad yang telah ditutup sementara sejak dua dekad yang lalu. Pengoperasian semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad pastinya akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
Dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Iraq, saya mengulangi komitmen Malaysia untuk meluaskan kerjasama dengan Iraq dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan, hubungan udara dan pelancongan.
Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneroka semua laluan dan peluang yang ada untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara termasuk meningkatkan eksport perabot, produk farmaseutikal, produk elektrik dan elektronik serta komoditi ke Iraq.
Dalam bidang pelaburan, kerajaan Iraq telah mengalu-alukan kehadiran syarikatsyarikat dari Malaysia untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur bagi pembangunan semula Iraq.
Saya turut membincangkan tentang status pengoperasian PETRONAS di Iraq serta peluang yang lebih meluas dalam sektor tenaga yang boleh diterokai oleh PETRONAS.
Beberapa perkara penting lain yang telah dicapai dalam lawatan rasmi ini adalah :
i. Menggalakkan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara dua negara secara berterusan;
ii. Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) antara Malaysia dan Iraq yang telah tertangguh sekian lama (kali terakhir adalah pada tahun 2005) akan dilaksanakan semula dengan segera;
iii. Kesediaan Malaysia untuk meneroka peluang untuk meningkatkan jumlah dagangan serta mengambil bahagian dalam projek pembinaan dan pengurusan lapangan terbang, sistem jalan raya serta pengurusan sumber air;
iv. Meningkatkan kerjasama di dalam bidang pendidikan melalui pertukaran tenaga pengajar, penyelidik dan pelajar dalam pelbagai bidang;
v. Melebarluas jaringan hubungan udara yang lebih praktikal dan efisyen di antara kedua-dua negara bagi mengembangkan sektor pelancongan. Dalam hal ini, Malaysia mengalu-alukan hasrat Iraqi Airways memulakan penerbangan berkala ke KLIA dengan segera;
vi. Kerajaan Iraq telah meminta Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi membantu proses membangunkan semula Iraq; dan
vii. Malaysia dan Iraq berperanan menangani isu berkaitan Islamofobia secara kolektif dengan negara-negara Islam yang lain. Justeru itu, Malaysia, Iraq serta Turkiye akan memainkan peranan lebih penting dalam mendepani isu Islamofobia yang telah dimainkan oleh pihak-pihak tertentu.
Lawatan ini merupakan satu permulaan untuk Malaysia berperanan sebagai negara yang proaktif dalam hubungan antarabangsa terutamanya di Asia Barat. Ini juga merupakan misi diplomasi aktif yang diasaskan oleh YAB Perdana Menteri bagi membolehkan Malaysia untuk kembali ke persada antarabangsa dalam menghadapi dan mendepani isu-isu global.
Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
26 Ogos 2023
LIST OF CONVENTIONS / TREATIES THAT HAVE BEEN TRANSLATED INTO BAHASA MELAYU
Ratified by Malaysia
1. | Convention on the Elimination of Discrimination Against Women, CEDAW | ||
| |||
3. | Convention on the Rights of Persons with Disabilities, CRPD | ||
| |||
Yet to ratify
4. | Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment – CAT | ||
| |||
5. | International Covenant on Civil and Political Rights - ICCPR | ||||
| |||||
6. | International Convention on the Elimination of Racial Discrimination - ICERD |
7. | International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights - ICESR | ||
| |||
8. | International Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance - ICPED |
9. | International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of their Families - ICRMW |
10. | Convention Relating to the Status of Refugees, 1951; | ||
| |||
11. | Rome Statute |
Other documents
| |