KENYATAAN MEDIA
YB. DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
KERAJAAN ARAB SAUDI BANTU MEMUDAHCARA URUSAN KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA YANG TERKANDAS DI ARAB SAUDI
KUALA LUMPUR, 10 APRIL 2020 (JUMAAT)
Saya ingin memaklumkan, seramai 80 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi susulan penggantungan penerbangan dan sekatan perjalanan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana penularan Covid-19 akan pulang ke tanah air esok.
Mereka akan pulang dengan menaiki sebuah pesawat khas Saudi Arabian Airlines yang ditaja oleh Kerajaan Arab Saudi. Pesawat ini dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.30 pagi nanti (11 April 2020).
Selain 80 orang rakyat Malaysia, turut akan pulang menaiki pesawat ini ialah 4 orang rakyat Brunei, seorang rakyat Indonesia, seorang rakyat Singapura serta 2 orang rakyat Syria yang bertaraf penduduk tetap. Kerajaan Malaysia difahamkan bahawa pesawat yang sama turut digunakan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk membawa pulang rakyat mereka yang terkandas di Malaysia.
Bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri, Barisan Kepimpinan Kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia - saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat Kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Arab Saudi yang juga penjaga dua Masjid Suci, Baginda Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud atas perkenan Baginda untuk membantu Malaysia di saat getir ini. Terima kasih juga kepada Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Yang Teramat Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud yang amat prihatin demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dijaga dengan baik. Saya juga secara peribadi turut berterima kasih kepada Menteri Luar Arab Saudi, Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud kerana sewaktu video conferencing kami pada tiga minggu lalu, Putera Faisal telah menyuarakan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama-sama Malaysia sepanjang krisis Covid-19.
Perkara ini sekaligus membuktikan betapa akrabnya hubungan Malaysia dan Arab Saudi. Melalui Kementerian Luar Negeri, Malaysia akan memastikan hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara ini terus utuh dan berkekalan. InsyaAllah.
=tamat=