Speeches, Statements & International Documents
KENYATAAN YB MENTERI LUAR NEGERI “PENDIRIAN MALAYSIA TERHADAP PEMBUNUHAN ISMAIL HANIYEH, KETUA BIRO POLITIK HAMAS PADA RABU, 31 JULAI 2024”
KENYATAAN YB MENTERI LUAR NEGERI “PENDIRIAN MALAYSIA TERHADAP PEMBUNUHAN ISMAIL HANIYEH, KETUA BIRO POLITIK HAMAS PADA RABU, 31 JULAI 2024”
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera,
Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat,
1. Pada hari semalam, dunia dikejutkan dengan berita pembunuhan Ismail Abdulsalam Ahmed Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin.
2. Kita semua berdukacita dengan tragedi ini. Pada saat dan di Dewan yang mulia ini, kita menzahirkan rasa simpati dan solidariti, serta seluruh rakyat Malaysia, dengan kepimpinan dan rakyat Palestin.
3. Kerajaan telah merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada ahli keluarga Almarhum Ismail Haniyeh dan juga ahli keluarga pengawal peribadi beliau yang turut dibunuh, serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.
4. Sebagaimana yang kita maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menelefon Dr Bassem Naim, Ketua Hal Ehwal Antarabangsa Biro Politik Hamas, sejurus selepas menerima perkhabaran mengenai tragedi ini.
5. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyampaikan ucapan takziah dan menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin.
6. YAB Perdana Menteri nyatakan, dan saya petik di sini:
“Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza, yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa. Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum. Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel, bagi menghentikan pembantaian.
Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail. ”
Dato’ Yang di-Pertua,
7. Saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang di bawah Peraturan 13(1)(i) untuk memberi penerangan mengenai “Pendirian Malaysia Terhadap Pembunuhan Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas.”
8. Selain kenyataan YAB Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri juga telah mengeluarkan Kenyataan Media yang mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh semalam.
9. Semasa Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, barisan pentadbiran Kerajaan turut bersolidariti bersama rakyat Palestin, dengan mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan tersebut. Jemaah Menteri juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ismail Haniyeh, dan menggesa siasatan segera dilaksanakan agar pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.
Dato’ Yang di-Pertua,
10. Almarhum Ismail Haniyeh merupakan tokoh pejuang pembebasan. Almarhum sebelum ini telah kehilangan ahli keluarga yang juga syahid akibat kekejaman rejim Zionis Israel.
11. Pembunuhan pemimpin utama Palestin ini mempunyai beberapa implikasi yang sangat besar terhadap keamanan dan kestabilan keselamatan global, bukan sekadar di Timur Tengah, tetapi dengan pelbagai kemungkinan.
12. Pertama, ia akan mencetuskan konflik yang lebih besar dan melebarkan lagi peperangan di Gaza. Kemungkinan adalah sangat besar yang konflik Gaza ini akan menjadi ‘a regional war’.
13. Pembunuhan ini telah secara langsung menyumbang kepada ‘the escalation of the war’. Ia telah menjadikan prospek perang Gaza membarah dan mengheret pelbagai negara di Timur Tengah ke kancah peperangan.
14. Keadaan di Timur Tengah pada waktu ini adalah sangat meruncing dan amat sukar untuk dibendung daripada merebak setelah pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin utama Palestin.
15. Negara yang terdampak, pasti akan bertindak balas dengan lebih keras setelah kedaulatannya tercabar dengan tindakan pembunuhan secara terancang di dalam sempadan negara yang berdaulat.
16. Kedua, tindakan pembunuhan ini adalah sangat jelas membuktikan bahawa ada pihak yang tidak berminat langsung, untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dengan HAMAS, apa lagi mewujudkan keamanan yang kekal.
17. Yang terbunuh kali ini bukan sahaja sekadar pimpinan utama Palestin, tetapi prospek untuk keamanan. ‘It is the death of peace’, dengan izin.
18. Bagaimana mungkin usaha gencatan senjata dapat diteruskan apabila pemain dan perunding utama gencatan senjata tersebut dibunuh dengan kejam.
19. Semua ini jelas menunjukkan matlamat sebenar regim Zionis Israel. Iaitu meneruskan agenda ‘genocide’, keganasan dan kezaliman di luar batasan terhadap rakyat Palestin.
20. Bagi mereka tiada keperluan gencatan senjata. Matlamat mereka ialah kemusnahan menyeluruh Gaza, pembunuhan semua pimpinan utama Palestin, semua tahanan Palestin yang ditahan tanpa bicara didera dengan penyeksaan yang di luar batas kemanusiaan serta lebih banyak penempatan haram diperluaskan di tebing Barat.
21. Ketiga, amat sukar sekali untuk menyeru agar semua pihak berkonflik untuk meredakan konflik dengan ‘exercising maximum restraint’.
22. Israel langsung tidak menunjukkan ‘any form of restraint’. Mereka memperlekehkan gesaan untuk menghentikan genocide mereka ke atas penduduk Gaza.
23. Sehingga ke saat ini, kekejaman rejim Zionis Israel masih berterusan dan berleluasa. Jumlah mangsa yang terkorban akibat konflik terkini di Gaza telah melangkaui 40,000 orang. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang masih tertimbus di bawah runtuhan. Jelas, penjenayah-penjenayah tersebut tidak memilih sasarannya – orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak; sukarelawan misi kemanusiaan; petugas perubatan; wartawan, pengamal media. Dan senarai ini berterusan....
24. Kita semua tahu konflik di Palestin tidak bermula pada 7 Oktober 2023 seperti yang dipermainkan oleh sesetengah pihak. Ia merupakan satu perjuangan untuk kebebasan rakyat Palestin yang telah melangkaui selama lebih tujuh dekad.
25. Malah konflik ini semakin merebak dengan pelbagai serangan yang dilancarkan ke atas beberapa negara seperti Yemen, Lubnan, Iran dan Syria.
26. Kerajaan berpandangan bahawa segala usaha untuk mencegah konflik ini dari terus memuncak bukan sahaja gagal, tetapi seperti telah menemui jalan buntu.
27. Keempat, Malaysia menjangkakan bahawa tindak balas dari kelompok “The Axis of Resistance” akan lebih sukar dibendung.
28. Bukan lagi suatu kemungkinan untuk mereka bertindak balas. Persoalannya sekarang adalah bila dan pada skala yang bagaimana.
29. Yang pasti, akan lebih banyak korban, kemusnahan dan penderitaan.
30. Semua ini akan menjadikan dunia berhadapan dengan krisis keselamatan global yang lebih meruncing dan seterusnya mengancam pertumbuhan dan kestabilan ekonomi dunia serta kesejahteraan manusiawi.
31. Kekejaman rejim Zionis Israel dan pembunuhan rakyat Palestin mesti dihentikan. Saya telah tegaskan sebelum ini dan saya ulangi sekarang, “the killings must stop now!”, dengan izin.
Dato’ Yang di-Pertua,
32. Pembebasan sebuah tanahair dan pencarian keadilan untuk negara dan rakyat Palestin adalah perjuangan yang sah dan mulia. 33. Ia mesti disokong dalam segenap lapisan masyarakat dunia. 34. Pelbagai negara dan kebangsaan, pelbagai agama dan kepercayaan, samada Muslim mahupun bukan Muslim, mesti melakukan apa jua dalam kemampuan mereka untuk mewujudkan negara Palestin yang merdeka, diiktiraf dan berdaulat. 35. Apatah lagi perjuangan mereka didasari dengan matlamat menuntut keadilan dan pengiktirafan hak yang sah dan sangat asasi terhadap perkara-perkara berikut;
36. Pertama, membebaskan Al Aqsa, Palestin dan seluruh warganya daripada penjajahan brutal, zalim dan tidak sah oleh rejim haram Zionis Israel.
37. Kedua, mendapatkan semula tanahair yang telah dirampas dengan mencabuli segenap lunas undang-undang dan norma antarabangsa.
38. Ketiga, memperjuangkan hak untuk pulang ke tanahair sendiri bagi jutaan rakyat Palestin setelah berdekad lamanya diusir menjadi pelarian tanpa hak asasi.
39. Keempat, menghentikan penempatan tidak sah oleh puak penceroboh atau ‘settlers’ yang rakus mencederakan, merampas hak, harta dan tanah rakyat Palestin dengan sewenang-wenangnya.
40. Kelima, mempertahankan dan memelihara kemuliaan Al Quds, Baitul Al Maqdis, tempat ibadah antara yang termulia untuk penganut agama Islam.
41. Dan terakhir, menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin yang merdeka.
42. Inilah intipati dan matlamat sebenar perjuangan pembebasan Palestin.
43. Bukan seperti yang dilabel dan dipesongkan nilai dan maknanya oleh media dan pemimpin negara tertentu yang berat sebelah, serta taasub dengan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai.
44. Atas dasar itu, Malaysia harus kekal menjadi negara yang waras dan pro-kemanusiaan. Kita harus konsisten dalam mempertahankan sokongan dan pendirian terhadap pembebasan Palestin. Seperti juga kita konsisten dan teguh dalam pendirian kita memerangi rejim aparteid di Afrika Selatan satu ketika dahulu.
45. Berbekalkan kompas moral, nilai kemanusiaan serta pegangan terhadap lunas serta norma undang-undang antarabangsa, kita menjadikan sokongan ke atas Palestin sebagai teras penting dalam dasar luar Malaysia semenjak merdeka.
46. Kita tegas bahawa pencerobohan dan penjajahan rejim Zionis Israel ke atas Palestin, adalah penindasan yang nyata, melanggar undang-undang antarabangsa dan zalim.
47. Dan sebagai negara yang berdaulat, serta menghormati semua norma dan tata kelola, yang terbit dari undang-undang antarabangsa dan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia tidak pernah tergelincir dari pendiriannya, untuk menyokong perjuangan dan keadilan untuk Palestin dan rakyatnya.
48. Malaysia teguh dengan penegasan dasar luar kita. Bahawa hak dan kepentingan rakyat Palestin, mesti diperjuangkan, dalam setiap forum, dalam setiap ketetapan, usul dan tindakan di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
49. Bagi Malaysia, setiap segmen, kelompok dan perikatan politik kebangsaan Palestin, akan Malaysia dukung sebagai wakil yang sah untuk bangsa Palestin.
50. Pejuang-pejuang Palestin, pada pandangan dan pendirian Malaysia, adalah pejuang kemerdekaan dan pembebasan yang sah dan mesti dihormati serta disokong.
51. Mereka yang menentang pendirian sedemikian, adalah mereka yang diskriminatif dan sengaja membutakan mata dan akal dari segala fakta dan kebenaran.
52. Alhamdulillah, pendirian Malaysia ini, bukan sahaja sangat konsisten dan absah dari segi undang-undang antarabangsa, namun mula menjadi ikutan banyak negara dunia yang lain. Kini banyak negara turut lantang dan tegas dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan kemerdekaan negara mereka.
53. Sama ada dari Benua Amerika Selatan, Afrika mahupun Eropah, satu-persatu negara dunia mula menyatakan pendirian yang kini memihak kepada Palestin. Sudah banyak yang kini turut mengiktiraf Palestin sebagai negara yang berdaulat.
54. Intervensi Malaysia bersama puluhan negara lain, beberapa bulan lepas di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa juga nampaknya berhasil.
55. Keputusan ICJ jelas bersetuju dan memihak dengan pendirian Malaysia serta puluhan negara lain, bahawa Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dalam perkara berkaitan perampasan dan pembukaan penempatan haram di tanah milik warga Palestin.
56. Begitu juga pandangan, ketetapan dan keputusan oleh pelbagai tribunal antarabangsa dan ICJ dalam pelbagai perkara lain berkaitan dengan kependudukan Israel ke atas Palestin. Kesemuanya memutuskan bahawa tindakan rejim Zionis Israel bersifat satu penjajahan, collective punishment, genocide, crimes against humanity yang mesti dihalang dan dihentikan segera.
57. Demikian juga dengan ratusan resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, kesemuanya menterjemahkan konsensus global bahawa rakyat Palestin itu tertindas, dirampas hak dan dinafikan segala hak yang asasi terhadap mereka.
58. Pendirian Malaysia sangat selari dengan semua ketetapan tersebut.
Dato’ Yang di-Pertua,
59. Malaysia menyambut baik seruan supaya rakyat Palestin terus bersatu. Deklarasi Beijing yang dipersetujui pada 23 Julai 2024 merupakan satu asas kesepakatan dan kesepaduan semua pihak di Palestin bagi membina kekuatan mereka tersendiri dalam berdepan dengan kekejaman rejim Zionis Israel.
60. Semestinya kita menghendakkan supaya pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh dihadapkan ke muka pengadilan. Malaysia yakin bahawa pihak berkuasa Republik Islam Iran berupaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh.
61. Pada masa yang sama, kita menyeru semua pihak supaya tidak terburu-buru mengambil tindakan yang boleh memburukkan keadaan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli yang berhormat,
62. Sebagai menghormati kepergian tokoh Palestin yang tersohor ini, izinkan saya mengusulkan agar Dewan Yang Mulia ini berdiri dan bertafakur seminit untuk menghormati perginya seorang pejuang kemerdekaan yang cintakan bangsa dan tanah airnya.
63. Insyallah, dengan segenap ruang dan peluang, dan dengan berpandukan lunas undang-undang serta peraturan antarabangsa, Malaysia akan terus tekad menyokong perjuangan rakyat Palestin demi untuk mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan tanahair sendiri.
Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua.
LIST OF CONVENTIONS / TREATIES THAT HAVE BEEN TRANSLATED INTO BAHASA MELAYU
Ratified by Malaysia
1. | Convention on the Elimination of Discrimination Against Women, CEDAW | ||
| |||
3. | Convention on the Rights of Persons with Disabilities, CRPD | ||
| |||
Yet to ratify
4. | Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment – CAT | ||
| |||
5. | International Covenant on Civil and Political Rights - ICCPR | ||||
| |||||
6. | International Convention on the Elimination of Racial Discrimination - ICERD |
7. | International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights - ICESR | ||
| |||
8. | International Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance - ICPED |
9. | International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of their Families - ICRMW |
10. | Convention Relating to the Status of Refugees, 1951; | ||
| |||
11. | Rome Statute |
Other documents
| |