SESI DIALOG DAN RAMAH MESRA BERSAMA PESURUHJAYA TINGGI DAN DUTA-DUTA ASING KE MALAYSIA
Saya bersama Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, YBhg. Dato' Sri Amran Mohamed Zin dan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Hubungan Pelbagai Hala, YBhg. Dato’ Cheong Loon Lai telah dijemput oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia untuk bersama-sama dalam Sesi Dialog dan Ramah Mesra bersama Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Asing ke Malaysia. Lebih daripada 80 orang dari pelbagai negara dan benua yang bersama pada majlis yang ringkas tapi padat dan penuh makna.
Saya dimaklumkan oleh para duta bahawa ini merupakan kali pertama seorang menteri luar mengadakan pertemuan dengan seluruh kedutaan asing dan mengadakan dialog terbuka dengan mereka. Justeru hubungan keakraban sebegini perlu diteruskan bagi mewujudkan penyampaian maklumat dan interaksi secara langsung kepada pihak kedutaan asing yang berada dalam negara.
Saya sempat berkongsi beberapa visi, misi dan harapan Kementerian Luar Negeri dan juga Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri.
Turut diadakan adalah sesi dialog antara saya dan para jemputan yang hadir. Beberapa perkara telah dibangkitkan. Para Duta ini mengharapkan Malaysia akan terus aktif dalam menyuarakan setiap pendapat dan pandangan di peringkat global. Pada masa yang sama, masing-masing mengharapkan hubungan Malaysia dengan negara mereka dapat dipertingkatkan.
Sebagai Menteri Luar Negeri, saya melahirkan harapan dan keyakinan untuk melihat Malaysia terus hebat dan cemerlang di kalangan negara-negara ASEAN, ASIA dan DUNIA, melalui peranan aktif yang dimainkan oleh Malaysia di persada antarabangsa.
Terima kasih dan tahniah kepada TYT Vanu Gopala Menon, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia dan barisan urusetia yang menganjurkan program ini. Semoga majlis seperti ini dapat diteruskan lagi selepas ini.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
31 January 2023