Speeches, Statements & International Documents

Back

TEKS UCAPAN Y.B. DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN MENTERI LUAR NEGERI SEMPENA MAJLIS AMANAT YB MENTERI LUAR NEGERI, DEWAN SERBAGUNA, WP2 ISNIN, 15 JANUARI 2024

TEKS UCAPAN Y.B. DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN MENTERI LUAR NEGERI

SEMPENA MAJLIS AMANAT YB MENTERI LUAR NEGERI DEWAN SERBAGUNA, WP2

ISNIN, 15 JANUARI 2024

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Mohamad Haji Alamin,
Timbalan Menteri Luar Negeri,
YBhg. Dato’ Sri Amran Mohamed Zin,
Ketua Setiausaha,
Ketua-Ketua Jabatan,
Setiausaha-Setiausaha Bahagian,
dan seluruh warga Kementerian Luar Negeri,
1. Marilah kita memulakan pertemuan kita pagi ini, dengan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah inayah dan rahmat-Nya jua, kita dapat terus menjalankan tugas kita, dalam keadaan yang aman, tenteram dan sejahtera.
2. Pertamanya, suka saya menzahirkan, ucapan Selamat Tahun Baharu 2024 kepada semua. Semoga Tahun Baharu ini akan menjelmakan lebih banyak kejayaan dan perubahan yang baik, bukan sahaja di Wisma Putra ini, tetapi juga kepada watan yang amat kita kasihi.

3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk menghargai dengan sedalam dan seikhlasnya, sambutan semua kakitangan di Kementerian Luar Negeri, terhadap kehadiran saya.
4. Saudara dan saudari semua telah memberikan kerjasama yang sangat baik, dan menyantuni saya, dengan begitu mesra dan penuh kehangatan, semenjak saya memulakan tugas saya di Wisma Putra. Jelas terpancar komitmen tinggi, yang dipamerkan oleh warga Wisma Putra, dalam memastikan Kementerian ini terus cemerlang.
5. Kerjasama erat dan kerja berpasukan yang padu, sangat penting untuk kita berjaya sebagai sebuah Kementerian. Sentiasalah kita ingat akan hikmah Melayu, “serumpun bak serai, sesusun bak sirih”, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.
6. Sangatlah wajar untuk saya juga, mengiktiraf dan menghargai segala jasa baik, sumbangan dan kejayaan rakan saya, Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, Mantan Menteri Luar Negeri Malaysia.
7. Beliau telah meninggalkan Kementerian ini, dalam keadaan yang sangat baik, penuh kejayaan dan insya-Allah darmabakti beliau akan pasti kita ingat dan kenang. Saya mendoakan kejayaan yang lebih baik dan berganda bagi beliau, di Kementerian Pengajian Tinggi insya-Allah.

8. Saya memberi jaminan bahawa, kesinambungan dalam apa jua dasar utama dan program yang telah dirancang, akan saya teruskan. Yang baik akan kita perkasakan, yang kurang harus kita perbaiki.
9. Saya, insya-Allah akan mengambil pendekatan yang pragmatik, dalam mengemudi dasar luar Malaysia. Ia akan terus berpaksi kepada dasar asas, yang telah kita semai dan berakar kukuh, dalam sistem bernegara kita.
10. Namun itu tidak bermakna, kita tidak akan meneroka jalan baharu, dan pendekatan lebih kontemporari.
11. Dengan segala perkembangan dan perubahan yang hadir, membangunkan landasan baharu bagi dasar luar kita, menjadi sangat penting dan kritikal.
12. Malaysia telah menjadi sebuah negara moden yang ‘sophisticated.’ Justeru, dasar Kementerian ini, serta citra negara yang ingin kita tonjolkan pada dunia luar, harus bersifat sezaman dalam percaturan politik, keselamatan dan kelestarian global yang sangat dinamik.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang sangat saya hormati;
MEMBANGUN LANDASAN BAHARU
13. Situasi global dan serantau pada saat dan waktu ini sangat meruncing, tidak menentu, dan dalam banyak keadaan bersifat ‘disruptive’.
14. Kita tidak dapat membayangkan ‘acts of genocide’ berlaku, dalam ketamadunan maju dan moden, seperti apa yang kita saksikan di Gaza, Palestin. Kita juga tidak pernah menyangka, akan berlaku peperangan di benua Eropah pada abad ke-21, seperti yang kita saksikan antara Rusia dan Ukraine.
15. Waktu ini, dunia berhadapan dengan pelbagai krisis global; daripada kecelaruan cuaca dan pemanasan bumi, kepada ketidakcukupan makanan, kekontangan sumber air, pemerdagangan manusia dan perhambaan moden, migrasi yang tidak terkawal, kebanjiran pelarian konflik dan pelarian alam sekitar, ledakan teknologi disruptif dan pelbagai lagi rantaian krisis sejagat.
16. Semua ini bukan sahaja kompleks, dinamik dan berubah dengan pantas. Malah, ia memerlukan Malaysia menyemak dan mengkaji semula pelbagai dasar, dan instrumen diplomasi kita. Peranan Wisma Putra amat mustahak, dalam memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara, di persada antarabangsa, dalam menangani dampak semua krisis ini.
17. Tetapi yang lebih penting ialah: bagaimana kita di Wisma Putra akan menterjemahkan tanggungjawab Malaysia, kepada masyarakat antarabangsa.
18. Kita mesti mendepani semua isu global yang kompleks ini, sebagai sebahagian dari penyelesaian insya-Allah.
19. Sehubungan itu, tuntutan kepada peranan Wisma Putra adalah sangat besar, dalam mendepani cabaran global dan serantau, yang semakin mencengkam ini. Malaysia memerlukan dasar luar negara, yang lebih proaktif tetapi pragmatik. Komprehensif dan holistik. Sentiasa kekal berprinsip, diasaskan kepada landasan yang adil, dan selari dengan lunas undang-undang antarabangsa.
20. Justeru, membangunkan landasan baharu dasar luar ini, adalah sangat penting dan kritikal. Biar saya jelaskan sebabnya.
21. Pertama - kerana Malaysia bukan negara biasa-biasa. Malaysia adalah pemain penting di persada antarabangsa, wujud dan berfungsi dengan jayanya dalam sistem global.
22. Kita juga adalah negara Islam paling progresif, dan antara yang paling maju kekuatan ekonominya.

23. Malaysia mempunyai ekonomi yang berdaya saing, dan antara negara membangun paling berdaya maju, serta kehadapan. Masakan kita harus mengecilkan peranan kita, di sebalik keterlihatan dan kemajuan kita yang luar biasa.
24. Kedua - kerana kita waktu ini, mempunyai ‘an internationalist Prime Minister’. Perdana Menteri yang sosoknya global, pesonanya global, pemikirannya global dan sangat dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Kepimpinan beliau mesti kita terjemahkan, dengan dasar yang selari dengan wibawa dan ketokohan global beliau, insya-Allah.
25. Ketiga - kerana pelbagai cabaran dan krisis dunia yang mendepani kita waktu ini, memerlukan kita mengemukakan, kecerdasan dan kebijakan baharu. Malaysia memerlukan idea dan citra baharu.
26. Bukan kerana amalan dan dasar kita selama ini sudah tidak relevan. Atau kita mahu lari dari prinsip yang kita pegang dan pertahankan.
27. Tetapi, kita tidak boleh terpisah dan menjauhkan diri, daripada segala peristiwa, konflik dan krisis dunia. Malah, kita harus menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya.
28. Malaysia ini tidak terlalu kecil untuk menampilkan penyelesaian global. Dan kita tidak pula terlalu besar, sehingga boleh mengetepikan segala perkembangan di pentas antarabangsa.

29. Terakhir, kita memerlukan landasan baharu ini, kerana kita mesti mengukuhkan, kepercayaan antarabangsa terhadap Malaysia. Malaysia mesti mempunyai strategi, untuk terus meraih kepercayaan dunia.
30. Negara ini mesti menjadi negara yang dipercayai, oleh sesiapa sahaja, dan paling terhubung dengan semua. “Trusted and connected to all, and by the many, and not the few”.
31. Oleh yang demikian, segala hubungan dua hala (bilateral) Malaysia, dengan negara-negara sahabat jauh dan dekat, perlu sentiasa diperbaharui, melalui penilaian kemajuan kerjasama, dan menerokai potensi pelbagai kerjasama baharu.
32. Segala bidang dan aspek yang berpotensi mesti dilonjakkan, dengan memberi sentuhan serta strategi baharu.
33. Di peringkat pelbagai hala (multilateral), Malaysia seharusnya menonjolkan imej positif, mengambil pendirian tegas, berdasarkan prinsip yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan sejagat, keamanan dan kemakmuran, serta memastikan kelestarian ekonomi dan alam sekitar, sentiasa terpelihara.

34. Hanya apabila semua usaha diplomasi negara ini dapat dikemas dan digarap rapi, akan terbangunlah landasan baharu, dalam peranan antarabangsa kita. Yang akhirnya, insya-Allah, akan menjelmakan imej dan profil Malaysia, sebagai sebuah negara yang bukan sekadar terlihat, tetapi diyakini di persada antarabangsa dan masyarakat dunia.
Rakan-rakan Kementerian yang sangat saya hormati,
DASAR LUAR YANG ‘TRADE AND ECONOMIC CENTRIC’
35. Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas, dengan ekonomi yang senantiasa membangun pesat. Kita adalah sebuah pasaran terbuka, yang telah lama menjadi destinasi pelaburan dan perdagangan, yang diakui dan digemari dunia.
36. Malah Malaysia secara sejarahnya, telah beratus tahun menjadi ‘the lynchpin’ , yang menghubungkan dua benua laut yang penting. Ia telah lama menjadi tumpuan pedagang, pelayar dan peniaga dari pelbagai penempatan, di sepanjang pesisir lautan Hindi dan Pasifik.
37. Malaysia yang moden juga menyaksikan, proses perindustrian kita dipacu, melalui pelaburan langsung asing dan pertumbuhan pesat ekonomi. Justeru, amatlah penting untuk Malaysia memastikan, usaha menarik pelaburan dan perdagangan antarabangsa, dipergiat dan dipertingkatkan.

38. Saya akui, Wisma Putra telah memainkan peranan penting dalam perkara ini. Namun, ia harus dipertingkatkan. Kita mesti memberikan keutamaan baharu, dalam memposisikan dasar luar kita, yang dipacu perdagangan dan pelaburan, atau ‘trade and investment centric’.
39. Kita tidak boleh membiarkan agenda perdagangan dan pelaburan, hanya menjadi sebahagian daripada ‘the rubric of our foreign policy’. Ia mesti diarus perdanakan, diangkat darjah keutamaannya (central), dan diberikan keunggulan baharu, dengan pendekatan yang lebih canggih.
40. Ini kerana, kita bertanggungjawab menyokong usaha meningkatkan kebolehsaingan Malaysia secara transformatif. Kemakmuran ekonomi hanya boleh dikecap, dengan pelaburan langsung asing yang pelbagai dan ‘significant’.
41. Kestabilan Kerajaan dan pembangunan pesat hanya akan terjelma jika kita boleh memberikan solusi ekonomi, dan kesejahteraan kehidupan, kepada rakyat. Dan ia sangat kritikal pada waktu ini, lebih-lebih lagi pada ketika persaingan untuk menarik pelaburan asing adalah sangat sengit, malah radikal.
42. Sukacita saya menyarankan untuk kita melihat semula, bagaimana dasar luar kita boleh menyokong, secara lebih strategik dan appealing – khususnya dalam melonjakkan potensi Malaysia, sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan antarabangsa yang attractive.

43. Insya-Allah, sebagai seorang yang telah lama terdedah dengan dunia perniagaan dan perdagangan, saya akan memberikan keutamaan kepada sentuhan Wisma Putra, dalam mempertingkatkan diplomasi ekonomi kita.
44. Saya percaya, ‘a renewed focus’ dalam diplomasi ekonomi dan perdagangan akan menjadikan dasar luar kita ‘resonates’ dengan keutamaan Kerajaan Madani.
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
PERSEDIAAN SEBAGAI PENGERUSI ASEAN 2025
45. Kejayaan ASEAN dan kemajuan Asia Tenggara telah melalui proses yang panjang. Malaysia, sebagai negara pengasas ASEAN, telah membuktikan satu perkara – bahawa kesejahteraan rantau ini sangat bergantung, kepada sikap kita terhadap kerjasama serantau. Jika kita bersatu sebagai sebuah rantau, maka aman dan sejahteralah Tenggara Asia ini.
46. Sejak tahun 1967, peranan Malaysia sangat instrumental, dalam evolusi ASEAN dan pembentukan ASEAN-led mechanisms.

47. Malaysia adalah pemain utama serantau, sehingga ia disegani negara-negara besar dan organisasi antarabangsa. Dan Malaysia akan kekal komited dalam memperkasa Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) demi memacu kestabilan dan kemajuan Asia Tenggara.
48. Bagi Malaysia, ‘Kepusatan’ ASEAN itu tiada galang gantinya. Ia adalah mekanisme paling unggul, unik dan berkesan, dalam kita mengurus kepelbagaian cabaran serantau dan global.
49. Setelah lebih 50 tahun ASEAN ditubuhkan, pertubuhan ini terus memainkan peranan penting, dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi, agar kemajuan sosial dan pembangunan budaya dapat dikecapi. Paling penting, keamanan dan kestabilan serantau telah dapat dikekalkan.
50. Oleh yang demikian, Malaysia mesti bersedia dengan sebaik dan secukupnya, sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
51. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kita akan mengemudi ASEAN dalam situasi dunia, yang semakin rencam dan mencabar, dengan pelbagai cabaran-cabaran, yang mendesak dan sangat luar biasa.

52. Berhubung isu Myanmar, Malaysia seharusnya memastikan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5 Points of Concensus - 5PC). Matlamat akhir kita adalah jelas, iaitu Myanmar yang demokratik, inklusif dan adil, aman dan harmoni, serta makmur di mana hak-hak sivil dan politik dijamin Perlembagaan. Hal ini penting agar kestabilan dan keamanan serantau dapat dipelihara.
53. Malaysia juga akan terus menyokong, memupuk, dan menggalakkan dialog konstruktif di antara semua pihak berkaitan, bagi membincangkan hala tuju pendekatan ASEAN, dalam menangani situasi di Myanmar. Oleh itu, sangat penting untuk kita mempunyai kefahaman yang sangat mendalam tentang Myanmar, agar kita berupaya mengemukakan pendirian dan strategi yang lebih adil, praktikal, dan progresif.
54. Bagi mendepani cabaran perselisihan kuasa-kuasa besar di peringkat serantau pula, Malaysia seharusnya memainkan peranan penting, dalam meletakkan pertubuhan serantau ini, sebagai organisasi pelopor kerjasama, bersama negara-negara anggota dan negara-negara lain. Malaysia mesti memposisikan ASEAN, sebagai institusi paling dihormati dalam pendiriannya terhadap keamanan, kemakmuran dan kerjasama sejagat.

55. Tidak dinafikan, bahawa perselisihan kuasa-kuasa di rantau ini sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran, terhadap keselamatan rantau ASEAN. Justeru Malaysia akan terus memberi penekanan kepada Konsep Kawasan Aman, Bebas, dan Berkecuali 1971 (ZOPFAN). Konsep ini wajar dioptimumkan sepenuhnya, dalam mendepani cabaran geopolitik semasa di Asia Tenggara.
56. Seperkara lagi, persediaan kita sebagai Pengerusi ASEAN mesti menyeluruh. Kita mesti menyemarakkan ‘think ASEAN, feel ASEAN’ dalam setiap lapisan masyarakat kita.
57. Semua Kementerian dan Agensi Kerajaan, harus mendukung penuh kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi, dengan mempelbagaikan aktiviti, sumbang saran dan projek, dengan matlamat membumikan ASEAN, dan menanam kecintaan terhadap ASEAN, sebagai benteng keselamatan dan kesejahteraan rantau ini.
58. Harapan saya, semoga kita akan dapat menjadi Pengerusi ASEAN yang produktif, berjaya membuahkan banyak hasil dan perubahan yang bermakna.

Tuan-tuan dan Puan-Puan,
ISLAM DALAM KONTEKS DIPLOMASI GLOBAL
59. Islam adalah paksi penting kepada dasar luar Malaysia. Negara ini tidak pernah meletakkan Islam di kedudukan kedua, dalam aras keutamaan segala dasarnya.
60. Malaysia, sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang majoritinya beragama Islam, tidak pernah culas dalam tanggungjawabnya, terhadap kepentingan Islam dan ummah.
61. Dalam setiap dimensi, Islam senantiasa menjadi ‘a central element’ dalam diskusi, wacana dan pelaksanaan dasar luar kita.
62. Malaysia seringkali berkongsi aspirasi dan pendekatan, dalam memperkukuhkan perpaduan sejagat umat Islam, serta memelihara kesyumulan Islam.
63. Ini dapat dilihat dengan jelas, apabila Malaysia sentiasa membangkitkan isu-isu antarabangsa yang berkepentingan, bagi pihak negara-negara Islam. Melalui forum antarabangsa, seperti Kerjasama Organisasi Islam (Organisation of Islamic Cooperation - OIC), Malaysia sebagai contoh, seringkali memperjuangkan nasib dan hak rakyat Palestin yang tertindas, dan kezaliman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

64. Mengambil kira suasana dunia yang membelenggu umat Islam pada hari ini, terutamanya terkait isu-isu seperti Islamophobia, kemiskinan tegar, bantuan kemanusiaan, dan pembinaan keamanan pasca konflik, Malaysia harus terus memperkukuh kedudukannya, dengan meningkatkan lagi kerjasama dengan negara-negara Islam, bagi mendepani semua krisis tersebut.
65. Pendirian Perdana Menteri kita juga sangat jelas dalam pelbagai isu antarabangsa terkait Islam. Beliau telah memberi penegasan tentang pendirian Malaysia terhadap aliran ‘Islamophobic’, yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini. Kementerian ini akan menjadikan usaha memerangi, serta meneutralkan, kebencian terhadap Islam dan prejudis terhadap Muslim sebagai keutamaan.
66. Ikhtiar tersebut mesti global sifatnya, dan dilaksanakan dengan kerjasama antarabangsa, terutama antara kalangan negara Islam yang sealiran atau ‘like-minded’.
67. Saya juga berharap, lebih banyak usaha dan ikhtiar dapat dilakukan, untuk meningkatkan kesepakatan semua negara Islam dengan Malaysia menjadi pencetus agenda dan jurucakapnya.
68. Sudah tiba masanya Malaysia menerajui ‘wacana Muslim global’ dalam isu-isu keselamatan insan, pendidikan, kemiskinan, ketidakcukupan makanan, perubahan iklim, kemunduran pembangunan, ledakan teknologi disruptif, dan pelbagai lagi isu yang sangat mendampak orang Islam di serata dunia.
69. Malaysia wajar berusaha menjadi jurucakap penting kepada ummah. Dan memberi kepimpinan, melalui tindakan yang bersepadu dalam membangunkan kepentingan umat Islam, di pelbagai sudut dan dimensi, tanpa mengambil kira kedudukan geografi.
70. Kerana setiap Muslim itu bersaudara, dan ini adalah tanggungjawab kita, untuk saling membantu sesama ummah.
71. Justeru, pelbagai pentas antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations – UN), dan OIC, wajar dijadikan medium utama, bagi Malaysia menyuarakan isu umat Islam dengan lebih proaktif.
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
PERANAN PENTING DI DUNIA SELATAN (GLOBAL SOUTH)
72. Sebagai sebuah negara yang membentuk kumpulan Dunia Selatan, Malaysia sentiasa memberikan penekanan, untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan negara-negara membangun, atau dikenali sebagai Dunia Selatan (Global South).

73. Penglibatan aktif Malaysia dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Komanwel, Kumpulan G77 (G77), Kumpulan 8 Negara Membangun (D8), Dialog Asia-Timur Tengah (AMED), Forum Kerjasama Asia Timur- Amerika Latin (FEALAC), Persatuan Lingkaran Lautan Hindi (IORA) sangat terserlah.
74. Mulai saat ini, penglibatan Malaysia dalam semua pertubuhan tersebut, mesti dipertingkatkan. Malaysia berpotensi memperkasa kerjasama strategik, bersama negara-negara membangun dan dunia Islam, secara lebih progresif.
75. Kesemua ini sekali gus menuntut kita, untuk melihat kepentingan strategik, dan keperluan untuk membangunkan strategi baharu, di Timur Tengah dan Afrika Utara (Middle East and North Africa – MENA).
76. Kawasan ini adalah wilayah yang sangat strategik kepada kepentingan Malaysia.
77. Yang menghubungkan kita dengan Timur Tengah dan Afrika Utara, bukan sekadar perdagangan, pelancongan, urusan haji atau diplomasi dua hala. Yang menghubungkan kita ialah Islam.
78. Selama beratus tahun, Islam-lah yang menjadikan kita ‘connected’ dengan Timur Tengah dan Afrika Utara. Islam-lah yang mencorak keakraban dan persahabatan kita, yang akhirnya kita terjemahkan dalam bentuk perdagangan dan aktiviti ekonomi lain.

79. Dan oleh kerana pentingnya Timur Tengah dan Afrika Utara terhadap kepentingan strategik Malaysia, saya menyarankan kita merangka strategi baharu dalam hubungan kita dengan kawasan ini.
80. Pelbagai potensi pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan yang sangat luar biasa di sana, menjadikan kefahaman yang mendalam terhadap rantau tersebut, amat penting.
81. Saya juga ingin menyarankan, untuk kita memperkasakan Program Kerjasama Teknikal Malaysia, atau lebih dikenali sebagai Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP), yang boleh dijadikan sebagai medium, untuk menonjolkan kuasa lunak (soft power) Malaysia, terutamanya dalam kalangan negara membangun.
82. Malah, sudah sampai masanya Malaysia mempunyai strategi yang lebih komprehensif, dalam membangunkan keterlihatan dan kuasa lunaknya.
83. Strategi baharu harus diterokai, dengan memperhalusi beberapa faktor. Antaranya, bagaimana pengaruh Malaysia dan kedekatan Malaysia di hati masyarakat global, dapat kita pertingkatkan melalui pelbagai projek pendidikan, pembangunan antarabangsa, dan bantuan kemanusiaan.

84. Melihat peranan Malaysia semenjak berpuluh tahun, dalam pelbagai inisiatif pembangunan antarabangsa, saya menyarankan agar diteliti, kebolehlaksanaan penubuhan Agensi Kerjasama Antarabangsa Malaysia, atau Malaysia’s Agency for International Cooperation.
85. Sudah sampai masanya Malaysia mempunyai agensi seperti Japan International Cooperation Agency (JICA), untuk memastikan segala sumbangan Malaysia dan rakyatnya, kepada masyarakat antarabangsa, dapat kita koordinasikan dengan lebih strategik, dan menyumbang kepada peningkatan pengaruh positif Malaysia, di persada global.
86. Penonjolan kuasa lunak ini, seharusnya dijadikan batu asas untuk kita menyebarluaskan kapasiti Malaysia, sebagai sebuah negara yang mempunyai pengaruh di seluruh dunia.
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
PEMBINAAN KAPASITI DIPLOMAT MALAYSIA
87. Ketika suasana dunia pada masa ini dibelenggu pelbagai krisis – sama ada krisis politik, krisis keselamatan, mahupun ketidaktentuan ekonomi global, termasuk isu kesenjangan kekayaan, dan pengagihan kemakmuran yang tidak sama rata; perubahan iklim, dan sebagainya, amatlah penting agar Wisma Putra mempunyai kepakaran-kepakaran yang khusus, dalam usaha kita mendepani cabaran-cabaran ini.
88. Semua pegawai Wisma Putra mempunyai bakat dan potensi yang sangat besar. Dan bakat serta potensi luar biasa ini, mesti kita bangunkan dengan kefasihan dalam pelbagai isu dan ilmu, tentang pelbagai wilayah, krisis serta masalah global.
89. Pendedahan terhadap perkembangan, peluang-peluang dan cabaran-cabaran yang tercetus dalam pelbagai bidang ekonomi, teknologi hijau, komunikasi digital, dan tenaga boleh baharu yang bernilai tinggi, adalah sangat strategik dan penting.
90. Oleh itu, saya sangat berharap agar projek membangun keupayaan dan kecemerlangan para diplomat, diberikan perhatian berganda.
91. Wisma Putra mesti menyediakan aktor antarabangsa, yang diyakini dan berkaliber, dengan ilmu termaju dan pendedahan paling meluas, bagi membolehkan kepentingan Malaysia diperjuangkan secara berkesan.

92. Suka saya menyarankan IDFR untuk meneroka pelbagai kerjasama strategik, dengan universiti terbaik dunia, untuk melatih diplomat kita. Terokalah kerjasama dengan John Hopkins School of International Studies, atau S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS), atau Qatar University, atau dengan sesiapa jua yang boleh membangunkan bakat terbaik kita.
93. Bangunkan-lah ‘global programme, global research and global partnership’ dengan universiti, institusi, dan badan pemikir terbaik dunia. Kepentingan antarabangsa Malaysia hanya dapat dikelolakan dengan berkesan, melalui ketinggian ilmu pengetahuan dan keterampilan diplomat kita.
94. Wisma Putra harus menggembleng tenaga bersama-sama dengan agensi-agensi lain di luar negara, untuk memastikan Malaysia dapat terus memacu pembangunan negara, merebut peluang-peluang ekonomi, dan mengetengahkan pandangan dan pendirian Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat dan berprinsip, melalui kecekapan dan kompetensi wakil kita di persada antarabangsa.
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
95. Pentadbiran Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sangat memerlukan strategi baharu bagi dasar luarnya.

96. Insya-Allah landasan baharu ini akan kita sama-sama bangunkan, dengan berasaskan pengalaman, dasar dan pendekatan yang telah kita laksanakan selama ini.
97. Tugas ini bukannya mudah. Saya dan kalian semua tidak punya jawapan untuk semua masalah yang kita depani.
98. Tetapi dengan gandingan kerjasama semua, dan pengalaman luas saudara dan saudari, saya sangat yakin, Wisma Putra akan menjadi lebih terkehadapan dan unggul, dalam memperjuangkan kepentingan Malaysia, dan mengetengahkan peranan antarabangsa Malaysia.
99. Dengan memperlihatkan kebolehan diplomasi negara, di pelbagai platform antarabangsa, dan penterjemahannya melalui dasar-dasar dan penyelesaian terhadap isu-isu berkepentingan dunia, insya-Allah akan terbinalah imej positif Malaysia di peringkat global.
100. Hasilnya nanti, sudah pastilah peningkatan kepercayaan terhadap Malaysia oleh negara-negara di seluruh dunia.
101. Besar harapan saya, agar kita semua dapat berganding bahu dan bekerjasama secara utuh, ke arah meningkatkan imej dan profil Kementerian yang sangat penting ini.

102. Ingin saya tegaskan, bahawa kejayaan yang kita impikan, terutamanya dalam memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara, tidak akan dapat dikecapi, tanpa usaha dan komitmen berterusan di semua peringkat.
103. Terima kasih atas komitmen dan kerja keras semua.
104. Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah. Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


LIST OF CONVENTIONS / TREATIES THAT HAVE BEEN TRANSLATED INTO BAHASA MELAYU

Ratified by Malaysia

1. Convention on the Elimination of Discrimination Against Women, CEDAW
 
1.1 Optional Protocol to the Convention on the Elimination of Discrimination Against Women, CEDAW
   
2. Convention on the Rights of the Child, CRC
 
2.1 Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the sale of children, child prostiitution and child pornography
2.2 Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the involvement of children in armed conflict ; and
2.3 Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on a communications procedure
   
3. Convention on the Rights of Persons with Disabilities, CRPD
 
3.1 Optional Protocol to the Convention on the Rights of Persons with Disabilities
   

Yet to ratify

4. Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment – CAT
 
4.1 Optional Protocol to the Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment
   
5. International Covenant on Civil and Political Rights - ICCPR
 
5.1 Optional Protocol to the International Covenant on Civil and Political Rights: and
5.2 Optional Protocol to the International Covenant on Civil and Political Rights, aiming at the abolition of death penalty
   
6. International Convention on the Elimination of Racial Discrimination - ICERD
   
7. International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights - ICESR
 
7.1 Optional Protocol to the International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights
   
8. International Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance - ICPED
   
9. International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of their Families - ICRMW
   
10. Convention Relating to the Status of Refugees, 1951;
 
10.1 Protocol Relating to the Status of Refugees, 1967
   
11. Rome Statute
   

Other documents