Speeches, Statements & International Documents

Back

TEKS UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI PENERANGAN MENTERI-MENTERI DI BAWAH PERATURAN 14 (1)(i) PADA 9 OKTOBER 2023 BERHUBUNG DENGAN PERKEMBANGAN SEMASA KONFLIK PALESTIN-ISRAEL

 

TEKS UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI

PENERANGAN MENTERI-MENTERI DI BAWAH PERATURAN 14 (1)(i)

 PADA 9 OKTOBER 2023 BERHUBUNG DENGAN PERKEMBANGAN SEMASA KONFLIK PALESTIN-ISRAEL

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Saya ingin menarik perhatian Tan Sri Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen di dalam dewan yang mulia ini mengenai situasi semasa konflik Palestin-Israel.

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

1. Pada Sabtu, 7 Oktober, dunia dikejutkan dengan berita yang amat menyedihkan dari bumi Palestin. Pertempuran terbaru di Palestin dengan skala yang amat besar dan tidak pernah difikirkan telah meletus.

 

2. Sejak sekian lama, telah menjadi resmi di halwa telinga kita, pertempuran sering berlaku antara Palestin dan rejim Zionis, khususnya di Palestin akibat tindakan provokasi dan penindasan berterusan oleh penjajah Israel yang kekal dengan dasar kuku besi dan apartheid yang mencengkam penduduk Palestin.

 

3. Ribuan saudara mara kita di Palestin telah gugur syahid, cedera dan ada yang meringkuk di dalam penjara tanpa perbicaraan yang adil. Ibu bapa kehilangan anak, isteri diputuskan kasih sayang suami dan anak- anak kecil hilang tempat bergantung.

 

4. Sebagai Negara yang bertunjang kepada prinsip-prinsip kemanusian dan keihsanan, sudah pasti Malaysia tidak menyokong apa jua gerakan atau tindakan yang kesannya akan menyebabkan kehilangan nyawa, khususnya orang awam yang tidak bersalah.

 

5. Insiden terbaru di Palestin amat dahsyat dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar di kedua-dua pihak, selain ribuan yang tercedera dan kerosakan harta benda yang teruk. Adakah ini yang dunia hendak atau nanti-nanti kan?

 

6. Sebelum kita menuding jari kenapa pihak Palestin mengambil tindakan nekad Sabtu lepas, selamilah dulu mengapa tindakan besar ini diambil?

 

Tan Sri Yang Di-Pertua,

 

7. Konflik di Palestin telah berlarutan tujuh puluh lima (75) tahun. Selama ini, rakyat Palestin telah menjadi mangsa kepada pendudukan haram Israel, penderitaan dan penindasan setiap hari oleh polisi kuku besi rejim Zionis, tanah sendiri dirampas tanpa belas ihsan dan pencerobohan berterusan ke atas Masjid Al-Aqsa. Jutaan warga Palestin yang telah diusir tidak dapat kembali ke tanah air mereka dan perlu menumpang di negara lain.

 

8. Malangnya, masyarakat dunia khususnya pihak Barat berterusan dengan sikap acuh tidak acuh, menutup sebelah mata membenarkan kekejaman oleh rejim Israel tanpa sebarang tindakan punitif. Tindakan berat sebelah ini terus menimbulkan persoalan berhubung ketidakadilan di dalam penguatkuasaan prinsip dan undang-undang antarabangsa.

 

9. Kenapa ada dua pendekatan yang berbeza? Krisis Ukraine misalannya, pihak Barat dengan secepat kilat memberi sokongan kepada Kiev. Malangnya apabila melibatkan Palestin, ia langsung tidak diendahkan.

 

10. Hatta, mana-mana masyarakat yang sekian lama hidup dalam penindasan, kesengsaraan, kezaliman tanpa pembelaan sudah pasti ada tahap kesabarannya. Inilah yang terjadi di bumi Palestin selama ini. Tindakan provokasi dan penindasan ini semakin meruncing sejak rejim Israel didokong oleh parti berhaluan radikal menguasai Tel Aviv. Antaranya, tindakan provokasi melampau seperti pencerobohan di dalam Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya semasa pengunjung beragama Islam mahupun Kristian sedang mengerjakan ibadah masing-masing. Sikap Israel ini jelas membuktikan bahawa mereka bertindak menyerang sesuka hati tanpa mengira kesucian agama lain.

 

11. Rentetan daripada kemarahan yang tidak dapat dibendung, sudah menjadi lumrah manusia, dan telah dibuktikan dalam sejarah peradaban dunia, golongan yang teraniaya ini pasti akan bangkit mempertahankan hak mereka yang telah dicorak-carikkan.

 

Tan Sri Yang Di-Pertua,

 

12. Pendirian dan dasar luar negara oleh Kerajaan Madani dalam konflik Palestin-Israel adalah jelas dan tidak pernah berubah. Perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar Kerajaan Malaysia.

 

13. Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

 

14. Pendirian lantang dan tegas Malaysia telah kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa. Ia termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

15. YAB Perdana Menteri sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 22 September 2023 lalu, telah dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.

 

16. Ketegasan Malaysia juga jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang seringkali dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel. Ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Israel agar menghentikan dasar apartheid, dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

 

17. Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai 2023 mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas Wilayah Palestin sejak 1967.

 

18. Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel. Penyelesaian ini hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB serta memenuhi teras-teras yang telah saya nyatakan dahulu. Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

 

19. Sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia amat jelas dan merentasi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan semula infrastruktur. Sumbangan dan bantuan ini disalur dengan pelbagai cara samada secara dua hala, serantau atau pelbagai hala. Alhamdulillah, setakat ini bantuan kita ini membantu rakyat Palestin tidak pernah terhenti.

 

20. Selain bantuan dari Kerajaan, kita juga turut membantu menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada dana yang dikumpul dari sumbangan awam. Ia dilaksana melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh

 

Kementerian Luar Negeri. NGO-NGO yang berhasrat untuk membantu rakyat Palestin bolehlah menggunakan saluran ini.

 

Tan Sri Yang Di-Pertua,

 

21. Saya sesungguhnya amat berterima kasih atas sokongan berterusan dan keprihatinan daripada setiap Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai isu Palestin. Di dewan yang mulia ini, seringkali wujud percanggahan dan perbalahan antara pihak Kerajaan dan pembangkang untuk pelbagai isu.

 

22. Namun, tatkala timbul isu Palestin, pasti dewan yang mulia ini bergegar dengan suara keramat kesemua Ahli-ahli Dewan menzahirkan solidariti bersama untuk Palestin. Kita menjadi satu, senada dan sehati sejiwa menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan.

 

23. Atas semangat Perpaduan dan soladiriti rakyat Malaysia, dan berdasarkan prinsip-prinsip Malaysia MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan, saya memohon Ahli-ahli Yang Berhormat semua untuk menyokong sepenuhnya ketetapan-ketetapan berikut iaitu:

 

a. Malaysia amat bimbang dengan ketegangan yang semakin memuncak di bumi Palestin yang telah melihat ribuan nyawa melayang termasuk orang awam yang tidak berdosa, bilangan kecederaan yang semakin meningkat mendadak dan kerosakan harta benda yang amat besar;

 

b. Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam;

 

c. Masyarakat antarabangsa hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan serantau; dan

 

d. Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

 

Tan Sri Yang Di-Pertua,

 

24. Malaysia berpendirian teguh bahawa setiap konflik boleh diselesaikan di meja perundingan. Malaysia percaya bahawa satu hari nanti, dengan izin Allah SWT, InsyaAllah, Palestin akan dibebaskan dari cengkaman rejim Zionis dan akan mendapat semula hak-hak mereka yang diperjuangkan selama ini.

 

25. Semoga konflik yang berlaku akan dimuktamadkan dan seluruh dunia perlu memainkan peranan dan tanggungjawab secara kolektif tanpa mengira apa-apa kepentingan tertentu.

 

Sekian, terima kasih.


LIST OF CONVENTIONS / TREATIES THAT HAVE BEEN TRANSLATED INTO BAHASA MELAYU

Ratified by Malaysia

1. Convention on the Elimination of Discrimination Against Women, CEDAW
 
1.1 Optional Protocol to the Convention on the Elimination of Discrimination Against Women, CEDAW
   
2. Convention on the Rights of the Child, CRC
 
2.1 Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the sale of children, child prostiitution and child pornography
2.2 Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the involvement of children in armed conflict ; and
2.3 Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on a communications procedure
   
3. Convention on the Rights of Persons with Disabilities, CRPD
 
3.1 Optional Protocol to the Convention on the Rights of Persons with Disabilities
   

Yet to ratify

4. Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment – CAT
 
4.1 Optional Protocol to the Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment
   
5. International Covenant on Civil and Political Rights - ICCPR
 
5.1 Optional Protocol to the International Covenant on Civil and Political Rights: and
5.2 Optional Protocol to the International Covenant on Civil and Political Rights, aiming at the abolition of death penalty
   
6. International Convention on the Elimination of Racial Discrimination - ICERD
   
7. International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights - ICESR
 
7.1 Optional Protocol to the International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights
   
8. International Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance - ICPED
   
9. International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of their Families - ICRMW
   
10. Convention Relating to the Status of Refugees, 1951;
 
10.1 Protocol Relating to the Status of Refugees, 1967
   
11. Rome Statute
   

Other documents