TEKS UCAPAN
YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PERKEMBANGAN TERKINI PROSES REPATRIASI RAKYAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA
- Wisma Putra bersyukur kerana telah ramai rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berjaya dibawa pulang. Wisma Putra ambil maklum, masih ramai yang terkandas dan kita akan teruskan usaha untuk membawa pulang kesemuanya.
- Saya ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini, Jumaat, 27 Mac 2020, jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara kian meningkat iaitu kepada 3,468 di 61 buah negara. Jumlah ini menjadi semakin tinggi dengan peningkatan ketara rakyat Malaysia yang mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Chennai sebagai mereka yang terkandas. Wisma Putra sedang berusaha gigih untuk terus menyelesaikan keadaan ini dan sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.
- Ingin saya tekankan sekali lagi bahawasanya terkandas ini merujuk kepada rakyat Malaysia yang kebetulan berada di luar negara atas urusan kerja, urusan keluarga dan bercuti. Mereka telah mempunyai tiket untuk pulang ke Malaysia tetapi tidak dapat pulang kerana halangan perjalanan atau syarikat penerbangan membatalkan penerbangan mereka disebabkan pandemic COVID-19.
- Saya ingin jelaskan, usaha memudahcara kepulangan ini bukan mudah. Terdapat beberapa cabaran dan halangan yang perlu kita tempuhi.
- Pertama, banyak negara telah mengisytiharkan ‘lockdown’ ekoran penularan wabak COVID-19. Kerajaan Malaysia perlu berunding dengan Kerajaan negara-negara terlibat bagi mendapatkan kelulusan pendaratan penerbangan.
- Setakat ini, menerusi hubungan baik Malaysia dengan pelbagai negara, rundingan kita dengan sebahagian besar Kerajaan negara tersebut telah menemui hasil yang diharapkan. Namun, rundingan dengan beberapa negara khususnya berkaitan isu domestik di sana mengambil sedikit masa.
- Kedua, tiada langsung pesawat komersial dibenarkan untuk membuat penerbangan keluar masuk ke beberapa buah negara. Dalam situasi ini, sekalipun kita peroleh kebenaran mendarat, kita masih perlu dapatkan pesawat sewa khas.
- Alhamdulillah, buat masa ini biarpun peruntukan terhad, kita telah berjaya mendapatkan bantuan ihsan daripada mereka yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat seperti syarikat persendirian dan pertubuhan termasuk MIC serta T7 Global Berhad bagi membiayai pesawat sewa khas bagi membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air dengan selamat.
- Saya juga ingin menekankan bahawa Wisma Putra mengambil serius terhadap laporan, surat, posting di media sosial dan komen-komen di laman Facebook rasmi Wisma Putra khususnya daripada rakyat Malaysia di luar negara yang mendakwa Wisma Putra seolah-olah memilih kasih.
- Untuk makluman, Wisma Putra tidak pernah dan tidak akan sesekali mengamal diskriminasi. Di Nepal misalnya, kami sedia maklum bahawa terdapat 37 orang Malaysia sedang terkandas di sana. Justeru, saya telah mengarahkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu untuk menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.
- Pada masa yang sama, semua Perwakilan Malaysia di luar negara telah diarahkan untuk membuat penilaian situasi krisis COVID-19 di negara yang berkaitan. Ini termasuk risiko-risiko sama ada terdapat keperluan untuk pulang ke Malaysia atau sebaliknya. Ini harus dimaklumkan kepada rakyat Malaysia di luar negara oleh semua Perwakilan Malaysia setiap hari.
- Wisma Putra juga mengambil maklum bahawa terdapat segelintir pihak mempersoalkan mengapa Wisma Putra mengutamakan negara yang hanya ada 3 orang rakyat Malaysia terkandas berbanding negara yang ada lebih ramai rakyat kita.
- Perlu saya jelaskan, sebahagian negara masih membenarkan pesawat komersial keluar masuk. Maka, bantuan yang dihulurkan oleh Perwakilan Malaysia di luar negara termasuk mendapatkan jadual penerbangan baru ke Malaysia, dan bukanlah penghantaran pesawat sewa khas ke negara tersebut.
- Manakala di negara yang tiada langsung pesawat komersial keluar masuk, Wisma Putra sedang usaha mendapatkan sejumlah peruntukan tambahan sebanyak lebih RM19 Juta bagi membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas.
- Penting juga untuk saya maklumkan, jumlah ini tidak terpakai untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ini kerana, masih ada penerbangan komersial keluar masuk di kedua-dua negara ini.
- Jadi, saya merayu kepada rakyat kita di sana untuk mendapatkan penerbangan pulang secepat mungkin sebelum sekatan perjalanan dan penggantungan penerbangan berkuatkuasa. Dalam hal ini, saya ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia berdaftar dengan pihak Kedutaan kita di sana bagi membolehkan bantuan sewajarnya diberikan.
- Pada hari Jumaat yang penuh barakah ini, sukacita saya ingin berkongsi juga sedikit khabar gembira mengenai usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang sedang terkandas di luar negara buat masa ini.
- Untuk makluman tuan puan, hasil komunikasi antara YB Menteri Luar Negeri dengan Menteri Luar Negeri II Negara Brunei Darussalam pada 26 Mac 2020, Kerajaan Brunei telah menyatakan persetujuan untuk membenarkan sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir menaiki pesawat Kerajaan Brunei dari Mesir ke Brunei, selaras dengan misi repatriasi rakyat mereka yang dijadualkan pada hari Sabtu, 28 Mac 2020. Bagi memastikan perkara ini berjalan dengan lancar, Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sedang berkomunikasi rapat dengan pihak Kedutaan Besar Brunei di Kaherah mengenai pelan repatriasi ini.
- Sehingga hari ini, 27 Mac 2020, seramai 86 orang rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di Kaherah, Mesir. Namun demikian, disebabkan kapasiti penerbangan Kerajaan Brunei yang terhad, hanya seramai 51 orang rakyat Malaysia sahaja dibolehkan menaiki penerbangan tersebut. Dalam hal ini, keutamaan diberikan kepada warga emas dan pelancong rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air. Penerbangan ini dijangka tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam pada hari Ahad, 29 Mac 2020, jam 8.40 pagi.
- Bagi pihak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, patik menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas perkenan kebenaran 51 rakyat Malaysia untuk turut serta pulang menaiki pesawat yang dihantar oleh Kerajaan Brunei Darussalam.
- Dalam hal ini, Wisma Putra sedang giat mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses selanjutnya bagi rakyat Malaysia setibanya mereka di Brunei Darussalam kelak. Perkara ini akan dimaklumkan kepada tuan puan dengan segera.
- Ingin juga saya kongsikan di sini mengenai kepulangan 162 orang rakyat Malaysia dari Ho Chi Minh, Vietnam pada hari Khamis, 26 Mac 2020 menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang telah diselaraskan oleh Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi. Kesemua mereka ini merupakan pelancong yang terkandas di Ho Chi Minh, Vietnam.
- Akhir kata, saya sekali lagi ingin menyeru dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang prihatin untuk tampil membantu Wisma Putra dalam usaha Kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air dengan selamat.
- Yakinlah bahawa keutamaan Wisma Putra adalah untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia di luar negara yang masih terkandas dipelihara sebaik mungkin. Oleh yang demikian, kami sedang berusaha agar lebih ramai yang akan dibawa pulang ke Malaysia dengan kadar segera.
- Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT agar perancangan yang ada ini dipermudahkan dan berakhir dengan kejayaan.
Sekian, terima kasih.
YB DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19
KEMENTERIAN LUAR NEGERI