Archives
Halal Bi Halal Katalia 2019
Warga Konsulat Malaysia di Pontianak telah menghadiri dan diraikan oleh Asosiasi Ahli Tata Rias Pengantin Modifikasi dan Moden (Katalia) Kalimantan Barat (Kalbar) di dalam satu majlis Halal Bi Halal pada 26 Jun 2019 di Pontianak. Seramai 80 ahli Katalia Kalbar dari seluruh provinsi itu telah menghadiri acara yang diadakan bagi meraikan bulan Syawal. Katalia merupakan persatuan bagi golongan mak andam (penghias pengantin) di mana cawangan-cawangan persatuan tersebut telahpun diwujudkan diseluruh Indonesia.
Semasa acara tersebut diadakan, warga Konsulat Malaysia dapat berkenalan dengan ahli-ahli Katalia disamping dapat bertukar-tukar maklumat mengenai kesamaan dan kelainan budaya dan warisan Melayu dalam persiapan perkahwinan. Selain itu, satu pertunjukkan fesyen juga diadakan dalam mempersembahkan fesyen-fesyen Kalbar terkini. Dalam ucapan Konsul Malaysia, beliau mengalu-alukan pertukaran lawatan oleh ahli-ahli Katalia ke Malaysia dalam merapatkan lagi hubungan dan kerjasama di dalam bidang kebudayaan dan warisan terutamanya warisan dan budaya Melayu.