Archives
Lawatan Delegasi Universiti Sains Islam Malaysia ke Pontianak
Pada 19-22 Mac 2017, delegasi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diketuai oleh Dr. Mualimin Mochammad Sahid, Pensyarah Kanan dan 23 orang terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar telah mengadakan lawatan ke Pontianak. Lawatan mereka bertujuan memberi pengalaman kepada ahli-ahli Kelab Astronomi USIM menyaksikan fenomena ekuinoks yang terjadi pada 20-23 Mac 2017 di sepanjang garisan khatulistiwa. Pontianak merupakan kota yang terdekat yang mengalami fenomena tersebut.
Selain itu, pihak USIM dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak telah mengadakan upacara menandatangani MoU Kerjasama serta mengadakan Seminar Internasional mengenai ‘Pembangunan Falak Shar’i di Indonesia dan Malaysia’ pada 21 Mac 2017. Acara tersebut turut dihadiri oleh Bapak Hamka Siregar, Rektor IAIN Pontianak, En. Mohiuddin Ghazali, Konsul Malaysia di Pontianak, dekan, pensyarah, pelajar-pelajar serta media tempatan.
Berikutan MoU ini, USIM dan IAIN akan mengadakan pelbagai aktiviti yang melibatkan pertukaran lawatan, pelajar dan pensyarah yang akan mempelbagaikan pengalaman pembelajaran bagi pelajar kedua-dua institusi. Aktiviti-aktiviti tersebut juga bakal mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan anak muda-mudi yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.