Archives
Lawatan Panglima Tiga Briged Infantri ke Pontianak
Brig. Jen. Mohd. Bustaman Mat Zin, Panglima Tiga Briged Infantri telah mengadakan lawatan timbal balas ke Pontianak, Kalimantan atas jemputan rakan sejawatan beliau Brig. Jen. Widodo Iryansyah, Komandan Korem 121 pada 2 hingga 4 November 2016. Lawatan tersebut merupakan antara aktiviti tahunan di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Tentara Nasional Indonesia (TNI) di Kalimantan Barat.
Semasa lawatan tersebut, Panglima Tiga Briged Infantri telah membuat kunjungan hormat ke atas Konsul Malaysia pada 3 November 2016. Semasa kunjungan tersebut, pelbagai isu telah dibincangkan terutamanya mengenai hal-ehwal pengawalan sempadan Malaysia-Indonesia serta aktiviti-aktiviti di antara ATM dan TNI yang akan diadakan sehingga hujung tahun 2016. Kunjungan tersebut menjadi lebih istimewa kerana Panglima Tiga Briged Infantri dapat berjumpa dengan kenalan lama staf-staf tempatan Konsulat Malaysia kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Tentera Malaysia di Pontianak pada tahun 1980-an.
Selepas kunjungan tersebut, kedua-dua Panglima Tiga Briged Infantri dan Konsul Malaysia telah membuat kunjungan hormat bersama ke atas May. Jen. Andika Perkasa, Panglima Komando Daerah Militer (Pangdam) XII Tanjungpura. Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua belah pihak telah bersetuju bahawa hubungan kerjasama di antara ATM dan TNI di Sarawak-Kalimantan amatlah erat dan adalah penting agar keakraban ini dapat diwar-warkan dengan lebih meluas melalui pelbagai media kepada masyarakat kedua-dua negara.
Panglima Tiga Briged Infantri menyerahkan cenderahati kepada Konsul Malaysia
Pangdam XII Tanjungpura menerima kunjungan hormat Konsul Malaysia dan Panglima Tiga Briged Infantri