Archives Archives

Back

MAJLIS RAMAH MESRA AIDILFITRI 2023 (HALAL BI HALAL)

Konsulat Malaysia di Pontianak menganjurkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri (Halalbihalal) di Kediaman Rasmi Konsul Malaysia pada 13 Mei 2023. Majlis ini telah dihadiri oleh Timbalan Gubernur Kalimantan Barat, Bapak Drs. H. Ria Norsan, M.M., M.H, Ketua Pengadilan Tinggi Pontianak, Bapak Gatot Suharnoto, S.H, Walikota Pontianak Bapak Ir. Edi Rusdi Kamtono, MM, MT, Pegawai-pegawai kanan Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri), Wakil-Wakil Dari Pemerintah Tempatan, Universiti-Universiti, Tokoh-Tokoh Masyarakat, Rakyat Malaysia di Pontianak, Friends of Malaysia, Syarikat-Syarikat Perhotelan, Dewan-dewan Perniagaan Kalimantan Barat, Pengamal Media serta Masyarakat Tempatan. Dianggarkan lebih daripada 500 orang tetamu telah menghadiri majlis ini.

 

Di Majlis ini juga para tetamu telah disajikan dengan pelbagai juadah hari raya khusus Malaysia yang disediakan oleh Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri Malaysia (PERWAKILAN Pontianak) seperti Sate, Nasi Ayam, Ayam Percik, Mi Dan Bihun Sup serta beraneka jenis kuih muih Malaysia.

 

Majlis ini telah memberi peluang kepada Konsulat Malaysia untuk bertemu dan beramah mesra dengan semua tetamu yang hadir. Hal ini juga dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim dan kerjasama baik di antara semua yang hadir ke majlis ini.

 

Selain tu, di dalam majlis ini, Konsul Malaysia berkesempatan berbincang bersama Bapak Timbalan Gubernur Kalimantan Barat dan para tetamu lain berkaitan beberapa perkara penting, termasuklah pembukaan laluan baru perkhidmatan bas daripada Kuching ke Singkawang serta pembukaan semula perkhidmatan penerbangan dari Kuching ke Pontianak. Turut dibincangkan dalam majlis ini adalah berkenaan potensi-potensi kerjasama di antara Kalimantan Barat dengan Sarawak dalam bidang ekonomi dan pelancongan. Sebagai contoh, menawarkan peluang-peluang pelaburan di Sarawak serta mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan kepada rakyat Indonesia khususnya di Kalimantan Barat.

 

Secara kesimpulannya, penganjuran majlis ini dilihat dapat memberikan manfaat kepada kedua belah pihak serta akan memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia.